Matanya yang tajam sekadar dua jarak mata si pemakai. Maka tiap-tiap yang terlihat dan terdengar maka sampailah ia. Sembunyi tempatnya seolah pemalu sifatnya.

Monday, 9 April 2012

Dilema Silat Cekak.

Almarhom ustaz hanafi pernah mengatakan silat cekak ini hanya akan diajar kepada bangsa lain setelah seluruh umat melayu mempelajarinya. Pernah juga diberitakan dalam sejarah bahawa ada ketikanya beliau ditawarkan sejumlah wang yang banyak untuk mengajarkan kepada bangsa lain tetapi tawaran itu ditolak. Ini menunjukkan silat cekak tidak akan diajar kepada bangsa lain, ia hanya untuk bangsa Melayu beragama Islam.

Walaubagaimanapun, kita tidak tahu berapa banyak "spy" yang telah belajar silat cekak dan mencedok buah-buahnya untuk diajar kepada pihak lain. Maka tetap bolos dinding itu -- disini Ustaz Hanafi tanam pula pada kita erti "berkat" dan "niat". Maka jadi tak jadinya ilmu itu belum tentu.

Walaupun begitu, ironinya, dalam pada waktu yang sama adalah menjadi objektif Ustaz Hanafi hendak menjadikan silat cekak sebagai silat bertaraf nasional dan juga global. Ini bermakna, kelak satu hari tetap ia akan terbuka menjadi silat yang boleh dipelajari oleh semua bangsa di Malaysia dan juga dunia. Adakah "kelak" itu bermaksud sekarang?

Oleh itu, adakah ini bermaksud silat cekak hanya akan diajar kepada bangsa lain hanya setelah objektif utamanya iatu merujuk seluruh bangsa Melayu itu tercapai? Persoalannya adakah objektif utama yang telah ditetapkan oleh ustaz itu boleh tercapai? Adakah ini bermaksud "tidak boleh langsung diajar kepada bangsa asing" secara kias oleh ustaz Hanafi?

Jika kita berpegang pada angggapan itu, maka kita perlu melihat pada masa yang sama, dizaman Ustaz Hanafi sendiri, beliau telah pun membuka ruang untuk bangsa lain untuk belajar silat cekak. Perkara ini telah pun berlaku, maka terbuka pula ruang untuk bangsa asing menjadi guru dan presiden kepada silat cekak hak milik bangsa Melayu.

Perkara itu benar berlaku, tidak perlu menunggu lama, akibat seorang bangsa India yang diterima sebagai penuntut silat cekak, hari ini Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah menerima bahananya. Tidak mustahil ini akan berlaku pada persatuan-persatuan yang lain. Tidak mustahil ada tumbuh silat cekak ditempat lain yang bergurukan "bukan Melayu" oleh kerana telah diberi ruang kepada perkara seperti ini untuk berlaku.

Persoalan besar disini, adakah semua persatuan yang berasaskan Silat Cekak akan membenarkan bangsa lain sebagai pemimpin mereka? Jika ditanya Ustaz Hanafi pada ketika itu apakah jawapannya? Tetapi jika ditanya persatuan yang bersifat demokrasi apa pula jawapannya? Pernah ditanya atau pun tidak, wallahualam hanya orang lama sahaja yang boleh menjawabnya.

Maka jika ini berlaku adakah silat cekak hak milik bangsa Melayu ini akan turut sama dilacurkan demi memenuhi objektif nasional dan global tanpa memikirkan maksud sebenar yang hendak disampaikan oleh Almarhum Ustaz Hanafi? Inilah dilemanya.

Apa yang perlu difikirkan sekarang adalah nasib anak-anak Melayu generasi akan datang. Yang bakal hilang identiti dan warisan bangsa yang tinggi akibat kebodohan dan kejahilan pemimpin Melayu generasi hari ini yang lupa akan matlamat dan objektif persatuan yang berasaskan budaya dan pusaka bangsa Melayu.

Tidak mustahil, Silat Cekak bakal hancur dilacur, dirogol, dirobek, dirabak, dek kerana agenda segelintir individu yang menguasai persatuan. Objektif yang jelas telah dikaburkan demi takhta. Maka persatuan yang diharapkan menjadi wadah menyubur dan memelihara pusaka warisan hak milik bangsa Melayu telah pun diracun oleh ahlinya sendiri. Bucu-bucu tajam yang diharapkan menjadi benteng pertahanan telah pun menjadi "perlambangan" yang menikam jantungnya sendiri.

Oleh itu pewaris-pewaris silat cekak perlu berwaspada. Bertahanlah selagi termampu jangan sampai tergadai seluruh warisan pusaka bangsa Melayu. Ia bukan dilema bangsa tapi dilema persatuan yang kita sendiri anggap dan angkat sebagai platform pejuangan budaya bangsa. Tetapi jika platform itu rosak maka apa tindakan yang patut dilakukan?

Sesungguhnya telah terbukti "persatuan" yang hanya berasaskan kuasa struktur organisasi tidak dapat mempertahankan bangsa Melayu bila pendokong-pendokong organisasi itu khianat. Hala tuju "persatuan" seperti itu tidak boleh lagi dijadikan panduan untuk mempertahankan budaya bangsa Melayu.

Apabila tidak jelas akan peranan budaya, apabila tiada kaedah yang tepat untuk mengenal rupa bentuk pusaka bangsa Melayu, maka jadilah persatuan bangsa cacamerba lagi bangsat.

"Dengan Jiwa yang mulia kita bersatu, Pusaka Melayu dipelihara."

Sekian.

No comments:

Post a Comment