Matanya yang tajam sekadar dua jarak mata si pemakai. Maka tiap-tiap yang terlihat dan terdengar maka sampailah ia. Sembunyi tempatnya seolah pemalu sifatnya.

Monday 16 January 2012

Ahmad Tajudin Halim Syah-Guru Silat Cekak?

Tidaklah diketahui siapakah yang mula2 sekali mencipta seni Silat Kedah atau Silat Cekak ini. Hanya menurut apa yang diriwayatkan oleh Inche Yahaya Said - guru silat kita - bahawa Silat Chekak ini berasal dari Negeri Kedah dan di-amalkan oleh keluarga di-raja dan panglima2 yang terkanan dinegeri ini kira2 100 tahun yang lalu - rujukan risalah awal Silat Kedah 23.10.1966

Jadi bagaimana nama Paduka Seri Sultan Ahmad Tajudin Halim Syah (1804-1843) boleh timbul dalam sejarah silat cekak sebagai seorang pengamalnya seperti yang didakwa oleh silat Kalimah seperti berikut?

"Penderhakaan tersebut gagal dibanteras oleh para panglima Kedah sendiri. Sehinggalah Sultan Ahmad Tajuddin mengambil keputusan untuk menurunkan ilmu Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Ismail. Ini bertujuan untuk membanteras penderhakaan Tuah daripada berterusan dan Panglima Tok Ismail mengambil masa 44 hari sahaja untuk khatam dalam pembelajaran."

Adakah benar Paduka Seri Sultan Ahmad Tajudin Halim Syah Marhum Melaka itu Guru Silat Cekak?

Adakah benar dakwaan ini, atau hanya khayalan sesetengah pihak yang cuba mengkaitkan kehebatan sejarah silat dengan kesultanan Kedah tetapi tersilap dalam meletakkan silat itu ditempat atau pada orang yang selayaknya?

Sebenarnya, siapakah yang sedar bahawa pada sekitar tahun 1821-1839 itu ada tersebut seorang yang dianggap Sultan Kedah telah dibuang negeri malah berkawan pula dengan seorang mubaligh Kristian yang kerap menyakiti hati orang Melayu muslim dengan mengeji agama Islam?

Berikut ini adalah petikan daripada Sejarah Percetakan Awal Di Jajahan Selat 1806-1858 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka/Kementerian Pendidikan Malaysia 1991, ms51, mengkaitkan seorang Mubaligh Kristian anti Islam yang berkawan dengan seorang yang dianggap Sultan Kedah oleh British.


Comparison of the religion of Jesus with religion of Muhammad, Prophet of the Arabs Mecca - printed in Penang by Reverend Thomas Beighton in the year 1839 and in the Christian Year 1839 A.D and in the Muslim year 1254. 


Judul ini cuba membuktikan kelebihan Injil berbanding dengan Al Quran, telah mengakibatkan satu pergolakan di Pulau Pinang. Para pemimpin muslim mengganggap perbandingan itu sebagai mencela dan biadap...Pendekatan Beighton dalam kempen penerbitan risalah ialah dengan memuji agama Kristian dan mengeji Islam...

Risalah ini dan semua cetakan Jawi berikutnya di Pulau Pinang telah diterjemahkan oleh Beighton. Dia tiba di Melaka pada 14 September 1814 dan mula mempelajari Bahasa Melayu. Dia telah pergi ke Pulau Pinang pada 9 April 1819, di mana dia telah menubuhkan beberapa buah sekolah Melayu, dan dalam tahun 1824 dia telah membina sebuah gereja kecil untuk persatuan Mubaligh itu.

Dia (Beighton) menjadi kawan kepada sultan Kedah yang telah dibuang negeri, tetapi dia sering menyakitkan hati para pemimpin Melayu Muslim dengan sikap degil tanpa tolak ansurnya tentang kelebihan agama Kristian. Dia meninggal dunia dalam tahun 1844.

Siapakah orang yang dianggap sebagai sultan Kedah yang telah dibuang negeri yang berkawan dengan seorang Paderi Kristian anti Islam seperti yang dimaksudkan itu? Siapa pula yang menggadai Pulau Pinang kepada British sebelum itu?

Untuk perhatian, gelaran Paduka Seri Sultan juga bermaksud kerabat diraja yang mungkin berpangkat sebagai Laksamana atau Temenggung dalam sesebuah kerajaan dan ia tidak bermaksud sebagai pemerintah yang dianggap sultan atau Duli Yang Maha Mulia ataupun Agong. Pihak Inggeris yang tidak mahir dalam susur galur pemimpin Melayu dan tidak fasih dalam Jawi selalu terkeliru dalam hal-hal seperti ini. Kekeliruan mereka (Inggeris) dalam memahami gelaran dalam hiraki kesultanan Melayu menjadikan kita Melayu hari ini juga bercelaru kerana mengambil sejarah Melayu daripada mereka dan para balaci mereka.


Undang-undang Kedah, perlembagaan Nagara Kedah yang berlandaskan syariat yang telah dirampas dan disembunyikan oleh Inggeris daripada pengetahuan generasi Islam hari ini, jelas mempunyai undang-undang murtad sebagai 'counter' untuk menyekat golongan-golongan mubaligh kristian daripada terus memurtadkan umat Islam pada ketika itu yang diserang hebat daripada segenap penjuru. Ini termasuklah penterjemahan Injil ke dalam Bahasa Melayu yang dibiayai Inggeris dengan bantuan Bapa Persuratan Melayu Moden Munsyi Abdullah yang juga pengarang Sejarah Melayu yang berpusat di Melaka dan Singapura.


Tidak berniat hendak memperkecil atau menafikan kajian atau dakwaan yang sedia ada, tetapi tajuk ini boleh dikembangkan lagi dengan penglibatan semua pihak yang berminat dalam lapangan sejarah realiti silat cekak. Dimana dengan penglibatan pelbagai pihak itu nanti diharapkan kordinat yang tepat dapat dipastikan untuk menentu sahkan peranan Silat Cekak dan keselariannya dalam perkembangan Islam di utara Semenanjung Tanah Air dan seterusnya di Alam Melayu khasnya.

Wednesday 11 January 2012

SILAT KEDAH atau SILAT CEKAK

SILAT KEDAH atau SILAT CEKAK dari segi Falsafah - Sejarah dan Qaedah

Tidaklah diketahui siapakah yang mula2 sekali mencipta seni Silat Kedah atau Silat Cekak ini. Hanya menurut apa yang diriwayatkan oleh Inche Yahaya Said - guru silat kita - bahawa Silat Chekak ini berasal dari Negeri Kedah dan di-amalkan oleh keluarga di-raja dan panglima2 yang terkanan dinegeri ini kira2 100 tahun yang lalu.

Salah seorang Panglima Silat Cekak yang diketahui ialah Panglima Ismail dan kemudiannya Panglima Tok Rashid dari Sungai Daun sana. Peristiwa ini telah berlaku kira2 50 tahun yang lalu dan kubur Allah Yarham itu masih ada lagi sampai sekarang ini di-satu tempat di jajahan Kerian itu.

Panglima Tok Rashid inilah yang mengajar Che Yahya - guru silat kita itu - akan kepandaian silat ini. Konon kabarnya tidaklah ada seorang pun yang pernah belajar hingga tamat dan lengkap seperti yang telah dipelajari oleh Che Yahaya.

Sekarang Che Yahaya telah menurunkan pula ilmu-nya kepada putra2 bumi asalnya putra2 Kedah menerusi Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah.

Bersempena dengan peristiwa2 itulah maka Silat Chekak ini kita berikan nafas baharu iaitu "SILAT KEDAH".

Dari kajian2 yang mendalam terhadap falsafah dan qaedah silat ini kita mempercayai bahawa Silat Kedah telah lahir dan di-chipta sa-telah orang2 Melayu memeluk Ugama Islam...orang2 yang sungguh alim dengan ilmu2 agama dan tahu cara2 silat melayu.

Kalau hendak dibuktikan kata2 tadi dengan tulisan maka saya kira ini....buah buku yang tebal. Memadailah sahaja dengan risalah kechil ini.... 

"SILAT AKU SILAT KALIMAH, AKU SILAT DALAM KALIMAH"

rujukan keratan akhbar : Oktober 1973 / 23.10.1966

Friday 6 January 2012

Jejak Bertapak

Berjalannya Panglima Saad Abi Waqas r.a (sepupu Rasulullah s.a.w) bersama Uwais Qorni r.a dan seterusnya Salman Al Farisi r.a ke timur maka tetaplah ada rahmat dan berkat jejak bertapak jalan para sahabat ke wilayah nusantara. Berjalannya syeikh-syeikh yang digelar wali Allah yang terkemuka selepas zaman para sahabat Rasulullah s.a.w maka tetaplah juga ada berkat dan rahmat jejak- bertapak jalan para wali Allah ke Alam Melayu.

Begitulah ceritanya jejak bertapak jalan para sahabat.

Tuesday 3 January 2012

KALIMAH dan ABJAD SILAT ARAB-PARSI?

Bukan bermusuh sebagai tujuan. Kedua-dua video klip ini dipinjam sementara untuk dijadikan perbandingan sahaja. Ia juga bertujuan bagi mengkaji dan meneliti pergerakan silat yang dikatakan berasal dari Timur Tengah yakni ilham daripada Syeikh Al Qumairi dari Yaman yang didakwa mempunyai ilmu persilatan yang handal. Tok Syeikh itu juga dikatakan tinggal diistana Kedah yang mana raja-raja Kedah itu juga didakwa bersusur galur daripada Merong Mahawangsa @ Raja Debar Raja dari Parsi.



Kehebatan Sepak Terajang Silat Kalimah terkini - realiti

"Begitulah kisah Pak Ya telah menukar nama-nama asal tepisan-tepisan dan buah-buah di dalam Silat Kalimah kerana tidak mahu sebarang unsur “ TAKBUR “ di dalam Silat Kalimah yang berasal-usul dari “Silat yang berisi dakwah di dalamnya”. Apatah lagi nama-nama baru ini benar-benar melambangkan bahawa “SILAT KALIMAH ADALAH SILAT YANG DIINSPIRASIKAN DARI PERGERAKAN-PERGERAKAN SOLAT “. Dan lebih-lebih lagi apabila dilihat kepada sosok-peribadi pengasas awal Silat Kalimah ini ; Syeikh Abdullah Al-Qumayri Ar-Rifa’ie Al-Qibrari @ Syeikh Tajreed (yang berasal dari Syahir-Yaman) adalah pendakwah yang telah berjaya mengislamkan Raja Kedah Tua di masa itu ; Raja Merong Mahawangsa II @ Maharaja Dhurbar Raja @ Sultan Mudzafar Syah I." - KALIMAH



Kehebatan Sepak Terajang Silat Abjad terkini - realiti

"Syeikh Abdullah Al-Qumairy dan rakan-rakannya telah mempamerkan satu kehebatan seni mempertahankan diri (silat) sehingga semua hulubalang-hulubalang Raja Phra Ong terpaksa mengaku kalah dan akur dengan kehebatan Syeikh Abdullah. 

Baginda amat kagum dengan kehebatan yang ditonjolkan oleh Syeikh Abdullah Al-Qumairy dan rakan-rakannya serta ingin mengetahui secara lanjut mengenai rahsia kekuatan ini. Setelah mendengar penerangan Syeikh Abdullah, akhirnya baginda sangat terpegun dan terus memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah 3X (ada versi yang menyatakan 9X) di tangan Syeikh Abdullah Al-Qumairy diikuti semua para pembesar dan pegawai-pegawai Istana. 

Syeikh Abdullah Al-Qumairy juga telah memasyhurkan gelaran dan nama baru kepada Raja Phra Ong Maha Wanser iaitu Sultan Muzaffar Shah 1. " - ABJAD

Bukan bab silat.
Kedua-dua pihak diatas mendakwa Islamnya Raja Kedah pertama adalah pada zaman Raja Phra Ong (FIRAUN) Maha Wangser @ Raja Durba Raja @ Sultan Muzaffar Syah 1. Dakwaan ini berdasarkan catatan Hikayat Merong Mahawangsa dan juga At Tarikh Salahsilah Negeri Kedah 1923 karangan seorang kerani dizaman Paduka Seri Sultan Abdul Hamid.

Adakah benar dakwaan mereka bahawa Islamnya Kedah pada tahun 1136 Masehi sedangkan Undang-undang Kedah sudah pun mahsyor pada tahun 222 Hijrah sekitar abad ke 9 @ 830 Masehi?

Adakah benar wujudnya peristiwa Syeikh Abdullah Qumairi itu sedangkan pada zaman itu Raja Kedah sudah pun Islam dan mempunyai Undang-undang dan perlembagaannya tersendiri berdasarkan Al Quran dan Sunnah yang dikawal selia oleh Kadhi besar Diraja, pendeta, ulama dan haji-haji di Kedah?

Maka akibat daripada itu:
Jika raja itu pun tidak pernah wujud maka dimana mahu disangkutkan kisah pengislaman berlandaskan kehebatan silat yang sangat-sangat ditekankan itu? Jika tidak bersangkut maka bersedialah untuk lucut segalanya.

SEJARAH REALITI SILAT ABJAD

SEJARAH SILAT ABJAD

Sunday, September 21, 2008
RINGKASAN PENYEBARAN DAN PERKEMBANGAN DUNIA MELAYU ISLAM DI KEDAH DARUL AMAN

SINOPSIS

Ditulis dan disusun kembali oleh BlogMaster (Pok Nik)

Nota Khas : Terdapat banyak pindaan terpaksa dilakukan kerana input-input baru yang diperolehi supaya artikel ini ditulis dengan fakta yang setepat-tepatnya. Diminta para pembaca agar sentiasa mengunjungi blog ini untuk mendapatkan versi terbaru artikel ini. (Pindaan Terbaru : 23 Syaaban 1432 bersamaan dengan 25 Julai, 2011)

Penghargaan :

Al-Allamah Tuan Guru Haji Ustaz Ahmad Junaidin bin Haji Che Din (yang telah memberikan blogmaster kebenaran serta melakukan semakan demi semakan ke atas artikel ini)

Penafian :

Apa sahaja maklumat yang dipaparkan adalah pendapat mengikut kajian Persatuan Warga Melayu dan tidak semestinya selaras dengan pendapat lain-lain pihak yang mempunyai minat dalam isu yang sama.

Sekitar kurun ke 10 dan 11 Masihi, Kumpulan berfahaman Syiah di Iran telah memulakan gerakan memburu dan menghapuskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berada di bumi Iran ketika itu. Golongan Sunni adalah dari kalangan suku kaum Kurdis (Kalahar) (1)

(Nota 1) Dipercayai gelaran Kalahar kepada Kedah Tua telah diletakkan bersempena kedatangan kaum Kurdis ke sini.

Oleh kerana keadaan amat terdesak, golongan Ahli Sunnah Kurdis terpaksa berhijrah secara besar-besaran ke Afrika, India, Timur Tengah, Timur Jauh dan New Zealand. Sebahagian daripada mereka juga telah tiba di Nusantara dan membuka penempatan baru di Kedah yang juga dinamakan mereka sebagai Kalahar (sempena mengambil nama suku kaum Kurdis Sunni) yang pada masa itu baru sahaja menerima kesan serangan Raja Rajendra Chola (2).

(Nota 2) Ini dikaitkan dengan serangan tentera Islam ke atas sebuah Kerajaan Hindi di Pantai Koromandel bernama Chola. Raja Rajendra juga tidak berpuas hati dengan penguasaan Sri Vijaya di Nusantara. Baginda telah menghantar ratusan kapal perang untuk memusnahkan Empayar Sri Vijaya termasuk Kadaram (Kedah) Dalam tahun 1027 -1030M Rajendra Chola 1 [1018-1044M] melancarkan serangan ke atas Sriwijaya dan Sampugita dengan membawa balik harta rampasan Raja Kadaram [Kedah], Sangrama Vijayattung –varman tanpa membangunkan pemerentahan di Negara-negara yang diserangnya. Walau bagaimanapun ia telah menimpakan kemusnahan yang teruk ke atas Sriwijaya dan Sampugita. Antara negeri yang turut dimusnah akibat serangan itu ialah Gangga Negara [Perak] dan Medang Bhumi [Kelantan]. Sriwijaya yang berpusat di Palembang pada masa itu bersama Sampugita termasuk Jawa menyerang balas Negara Pandya di India Selatan dan Ceylon. Rajendra Chola 1 akhirnya dibunuh [1044] oleh tentera-tentera Melayu dari Negara bersekutu itu. Pada 1068-1069M Vira Rajendradeva putera Rajendra Chola 1 menyerang Kandaram yang dibawah jajahan Sriwijaya Palembang dan kemudian menyerah kembali lepada rajanya [serangan ini merupakan pertolongan lepada seorang raja yang menuntut takhta]. Selepas ini tidak ada tanda-tanda bahawa kerajaan Sampugita jatuh ke tangan Chola.

Ketika itu, Maharaja Durbar I iaitu Merong Mahawangsa (Sri Vijaya) menjadi duta Maharaja Rom (Keturunan Iskandar Zulkarnain - Macedonia)(3) untuk membawa Putera Raja Rom bagi mengahwini Puteri Maharaja China. Baginda berasal dari Gumarun (3), Parsi dan pernah ditewaskan oleh angkatan suku Iran lain yang lebih kuat.

(Nota 3) Rom yang dimaksudkan ialah Wilayah Empayar Parsi atau Iran yang pada suatu masa adalah sebahagian dari Empayar Rom Timur yang telah lama menerima agama Islam dari zaman Khulafa Ar-Rashidin. Gumarun juga dikenali sebagai Pelabuhan Gambroon di Laut Kaspian.

Rombongan pelayaran Merong Mahawangsa ini telah diserang oleh satu angkatan perang Hindu yang mempunyai kapal berlambangkan burung garuda (lambang kenderaan Dewa Wisnu). (4)

(Nota 4) Sumber yang menyatakan bahawa "Kedah dilanggar Garuda" bukanlah bermaksud sejenis burung yang besar tetapi lambang kapal perang Hindu yang menyerang Seri Vijaya ketika itu. Ilmuwan agama dan sejahrawan yakin bahawa kenyataan yang dimaksudkan sejenis burung "dewa" adalah bercampurbaur dengan elemen mistik yang datang dari pengaruh kepercayaan Hindu)

Serangan yang begitu kuat ini telah memaksa kapal Raja Merong Mahawangsa mendarat di kaki Gunung Jerai dan tidak lama kemudian baginda telah diangkat menjadi raja oleh penduduk tempatan sebagai Raja (Kedah) Kalahar 1.

Baginda juga telah mengahwini seorang gadis Orang Laut dari suku gergasi kerana ingin menggalakkan perkahwinan campuran di samping memperbesarkan lagi keturunan dan kaum kerabat.

Raja Merong Mahawangsa telah memperkenalkan nobat di istana baginda (5) mengambil sempena bunyi-bunyian dari istana Khalifah Harun Ar-Rashid di Baghdad.

(Nota 5) Istana baginda dibina di Kota Langkasuka di Sok, kira-kira 96 km ke timur Gunung Jerai berhampiran persimpangan jalan perdagangan Kalaha dan Langkasuka. Baginda juga dikatakan mendirikan sebuah lagi istana di timur Gunung Jerai berhampiran Kuala Merbok iaitu tapak permulaan jalan menuju ke Langkasuka dan Pantai Timur.

Sayyid Syeikh Abdullah Al-Qumairy

Tuan Guru Haji Mahmud Nasri Osmani (6) telah menceritakan kepada murid-muridnya bahawa Syeikh Abdullah bin Tuan Syeikh Ahmad bin Tuan Syeikh Ja’far Qumairy (atau Syeikh (Sayyid) Abdullah Al-Qumairy atau Syekh Abdullah Al-Yamani) berasal dari Syahir, Yaman. Beliau adalah Ahlul Bait dari keturunan Rasulullah S.A.W. yang juga merupakan murid kanan Ulama Terkenal Sultan Aulia Sayyidi Syeikh Maulana Maududin Ariffin Qutb Rabbani Muhyiddin Abdul Qadir Jilani Qadasallah Sirruh.

(Nota 6) Kisah ini diambil oleh Syeikh Mahmud Nasri Othmani daripada Ulama terkenal Kelantan Tuan Guru Waliyulllah Maulana Syeikh Yusof Kenali (Tok Kenali) yang diterima dari gurunya, ulama nusantara,Tuan Guru Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain Mustaffa Al-Fathani sebagaimana isi kandungan beberapa buah kitab seperti Hadiqatul Al-Azhar yang menceritakan kembali kisah sebenar Melayu-Islam, Islam-Melayu.

Pada suatu hari, Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah menerima arahan dari Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani untuk berangkat ke Negeri Kalaha (Kedah) dalam Wilayah Asia Tenggara - Dinasti Nusantara bersama-sama 11 orang rakan-rakannya.

- Ketika itu terdapat 6 orang utusan lain (murid-murid Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani yang terkenal) telah dihantar ke lokasi-lokasi yang berbeza iaitu

i) Syeikh Abu Hassan Syazili ke Mesir, Perancis hingga ke Itali,
ii) Syeikh Ahmad Badawi ke Sudan, Morocco hingga ke Afrika,
iii)Syeikh Abi Madyan Al-Maghribi ke Afrika Barat,
iv) Syeikh Ahmad Khabir Ar-Rifai ke Syria, Turki dan Balkan,
v) Syeikh Muhammad Ali Ridha ke Parsi
vi) Syeikh Sahabuddin Al-Syahid ke India, Afghanistan dan Nepal

Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah menggunakan jalan karamah di mana dia berjalan sekelip mata (lipat bumi) dari Baghdad ke Kalaha ( 7 ) dengan izin Allah SWT bersama-sama 11 orang rakannya) Syeikh Abdullah tiba di Negeri Kalaha pada tahun 531 Hijrah (1136 Masehi) – (Lihat Nota 4) dan telah mengadap Maharaja Durbar II Raja Phra Ong Mahawanser, Raja Kalaha yang ke-9 di Istana Bukit Meriam. Ketika itu istana sedang mengadakan satu majlis keramaian yang mempamerkan pertunjukan seni mempertahankan diri yang berpaksikan pemujaan dewata, sihir, istidraj dan lain-lain.

(Nota 7) – Sumber Hikayat Merong Mahawangsa versi yang ada kini yang mengaitkan kisah Syeikh Abdullah Al-Qumairy menggunakan atau merampas tongkat Azazil untuk atau setelah tiba di Kalaha. Beberapa ilmuwan agama dan pengkaji sejarah setelah membaca kitab-kitab karangan Ulama Nusantara menyatakan bahawa tidak mungkin seorang ulama besar lagi ahlul bayt akan bersekutu dengan syaitan, ramai yang berpendapat bahawa versi Hikayat ini juga telah dicampurbaur dengan elemen mistik atau mungkin telah dipinda oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk merendah-rendahkan maruah ulama muktabar ini.

Walaubagaimanapun ada satu versi lagi menyatakan bahawa tongkat berkenaan adalah sebenarnya milik Sultan Aulia Sayyidi Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir JIlani yang menganugerahkannya kepada Syed Syeikh Abdullah Al-Qumairy yang kemudiannya dihadiahkan pula kepada DYMM Sultan Muzaffar 1. Dipercayai tongkat berkenaan (kini digelar cokmar) adalah tongkat yang sama yang berada di Muzium Kedah masakini

Syeikh Abdullah Al-Qumairy dan rakan-rakannya telah mempamerkan satu kehebatan seni mempertahankan diri (silat) sehingga semua hulubalang-hulubalang Raja Phra Ong terpaksa mengaku kalah dan akur dengan kehebatan Syeikh Abdullah.

Baginda amat kagum dengan kehebatan yang ditonjolkan oleh Syeikh Abdullah Al-Qumairy dan rakan-rakannya serta ingin mengetahui secara lanjut mengenai rahsia kekuatan ini. Setelah mendengar penerangan Syeikh Abdullah, akhirnya baginda sangat terpegun dan terus memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah 3X (ada versi yang menyatakan 9X) di tangan Syeikh Abdullah Al-Qumairy diikuti semua para pembesar dan pegawai-pegawai Istana.

Syeikh Abdullah Al-Qumairy juga telah memasyhurkan gelaran dan nama baru kepada Raja Phra Ong Maha Wanser iaitu Sultan Muzaffar Shah 1.

Tidak lama kemudian seluruh rakyat Kedah juga telah memeluk agama Islam. Pengislaman secara massal ini berlaku dalam tempoh yang begitu cepat dengan berkat usaha yang jujur dan ikhlas seorang Waliyullah iaitu Syeikh Abdullah Al-Qumairy.

Rakyat Kedah juga terdiri daripada pelbagai kelompok yang berasal daripada Arab, Iran, India, Parsi, Al-Sin (China) (8) dan lain-lain yang mana mereka kebanyakannya telah lama memeluk Islam di negara asal masing-masing. Mereka juga terkenal dengan kemahiran berdagang. Umat Islam dari China juga rata-rata memakai nama pangkal ‘Pu’ iaitu Abu.

(Nota 8) – Saudagar-saudagar Islam dari Arab, Iran dan lain-lain berkumpul pelabuhan Kanton (Guangzhou). Sayyidina Uthman bin Affan r.a. pernah menghantar Saad Abi Waqqas bersama-sama 15 orang ahli rombongan untuk mengembangkan dakwah di Negeri China. Rekod di Negeri China pada tahun 651 menunjukkan bahawa mereka telah menerima utusan dari Han Mimo Moni (Amirul Mukminin) dan dalam kurun Masihi ke 7, Raja China Tai Ti Sung telah memeluk Islam.

Sekitar 877 Masihi, saudagar-saudagar Arab dan Iran di Kanton telah diserang dan dibunuh beramai-ramai oleh sekumpulan pemberontak anti kerajaan China. Inilah penyebabkan sebahagian dari mereka menjadi pelarian dan tiba di Kalaha.

Kebanyakan dari mereka ini telah memutuskan untuk terus tinggal bersama-sama umat Islam di Kedah dan menjadi satu warga atau bangsa yang baru di negeri Islam di bawah bimbingan (Ulama) Syeikh Abdullah Al-Qumairy dan payung pemerintahan (Umara) Sultan Muzaffar Syah 1 (Gandingan Kepimpinan Ulama-Umara) (9)

Nota 9 : Sejarah membuktikan bahawa Islam telah datang ke Nusantara berkurun lebih dahulu daripada zaman pengislaman Phra Ong Mahawanser. Ulama Nusantara dan sejahrawan tidak menolak fakta ini tetapi apa yang dibincangkan dalam artikel ini adalah BILAKAH agama Islam (dan bangsa Melayu) diisytihar setelah diijmakkan oleh Ulama dan Sultannya menjadi agama rasmi Nusantara (dan bangsa rasmi Nusantara).

Pemerintahan di zaman ini tidak mengenepikan agama-agama lain tetapi mereka yang bukan Islam (tidak dipanggil 'Mala-u') tetapi tidak memerangi Islam - dikenakan jizyah dan mereka yang masih langsung tidak menerima corak pemerintahan ini termasuk tidak mahu membayar jizyah telah melari dan memencilkan diri ke dalam hutan dan bukit bukau.

Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah menamakan gagasan bangsa yang baru sebagai AL-MALA-U (9) bersempena satu kalimah Arab yang bermaksud ‘(berkembang-biak) memenuhi ruang’ kerana cepatnya berkembang pengaruh agama Islam di Kalaha. Lama-kelamaan, pengaruh dialek dan sebutan berbilang bangsa ini telah menerbitkan perkataan “MELAYU” seperti yang dikenali hari ini.

(Nota 9)

Syed Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah meletakkan nama 'bangsa yang baru' ini sebagai "Al-Mala-u' sempena Firman Allah SWT :

Surah Saad : Ayat 69

مَا كَانَ لِي مِنْ عِلْمٍ بِالْمَلَإِ الْأَعْلَى إِذْ يَخْتَصِمُونَ

Tiadalah bagiku sebarang pengetahuan tentang penduduk alam yang tinggi (Al-Mala-ul'A'la) semasa mereka bersoal jawab.

Hadis Nabi S.A.W :

ثنا عبد الرزاق أنا معمر عن أيوب عن أبي قلابة عن بن عباس ان النبي صلى الله عليه و سلم قال أتاني ربي عز و جل الليلة في أحسن صورة أحسبه يعني في النوم فقال يا محمد هل تدري فيم يختصم الملأ الأعلى قال قلت لا قال النبي صلى الله عليه و سلم فوضع يده... بين كتفي حتى وجدت بردها بين ثديي أو قال نحري فعلمت ما في السماوات وما في الأرض ثم قال يا محمد هل تدري فيم يختصم الملأ الأعلى قال قلت نعم يختصمون في الكفارات والدرجات قال وما الكفارات والدرجات قال المكث في المساجد والمشي على الاقدام إلى الجمعات وإبلاغ الوضوء في المكاره ومن فعل ذلك عاش بخير ومات بخير وكان من خطيئته كيوم ولدته أمه وقل يا محمد إذا صليت اللهم اني أسألك الخيرات وترك المنكرات وحب المساكين وإذا أردت بعبادك فتنة ان تقبضني إليك غير مفتون قال والدرجات بذل الطعام وإفشاء السلام والصلاة بالليل والناس نيام

Telah menceritakan kepada kami Abdurrazaq yang berkata telah menceritakan kepada kami Ma’mar dari Ayub dari Abi Qilabah dari Ibnu Abbas bahwa Nabi SAW bersabda “RabbKu Azza wa Jalla datang kepadaku malam tadi dalam sebaik-baik bentuk” –Aku mengira maksudnya adalah dalam tidur- Lalu Dia berfirman “Wahai Muhammad, apakah kamu tahu mengenai apa Al Mala’ul A’la yang menjadi perbalahan? Baginda bersabda “tidak”. Nabi SAW bersabda “Lalu Dia meletakkan tangan-Nya di antara dua bahuku hingga aku dapati dinginnya antara dua dadaku. Atau Baginda bersabda “antara tenggorokanku”. Maka tahulah aku apa yang ada di langit dan di bumi. Kemudian Dia berfirman “Wahai Muhammad, apakah kamu tahu mengenai apa Al Mala’ul A’la (yang menjadi punca) pertengkaran?”. Baginda bersabda ‘Aku berkata “ya , mereka bertengkar mengenai Al Kafarat dan Ad Darajat?”. Apa itu Al Kafarat dan Ad Darajat?. Diam di masjid, berjalan kaki untuk berjema’ah, menyempurnakan wudhu dalam suasana/keadaan tidak menyenangkan, barangsiapa melakukan hal itu maka ia hidup dengan baik dan mati dengan baik. Dia bersih dari dosa seperti baru dilahirkan Ibunya. Dan katakanlah wahai Muhammad bila kamu selesai solat “Ya Allah sesungguhnya aku memohon KepadaMu kebaikan-kebaikan, meninggalkan hal yang mungkar dan cinta kepada orang-orang miskin. Dan bila Engkau menginginkan fitnah bagi para hambamu maka cabutlah nyawaku kepadaMu dengan tanpa fitnah”. Dan Ad Darajah adalah dengan memberikan makanan, menyebarkan salam dan solat malam saat manusia tidur”. [Hadis riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad 1/368 no 3484 dan Sunan Tirmidzi 5/366 no 3233]

'Al-Mala-u' juga disebut di banyak tempat dalam Al-Qur'anul Karim dan juga Hadis. Mengikut Kamus Bahasa Arab- Al-Mala-u bererti :

a) Budi pekerti yang tinggi (husnulkhuluqa (akhlak yang mulia) yakni makna kepada agama sebagaimana satu Sabda Rasulullah S.A.W.)
b) Pemimpin
c) Cahaya (Iman dan Taat) yang memenuhi ruang dan masa

Gelaran ini diberikan bagi mengesahkan bahawa warga ini adalah :

a) Ahli (warga yang menerima Talkin kalimah Taqwa dan Tarbiah)
b) Jawi (penulisan bangsa Arab asal iaitu Jawi Qadim (Asia Barat) – manakala Bangsa Melayu asal pula menggunakan Jawi Jadid (Asia Tenggara) yang menambahkan titik pada beberapa huruf)
c) Melayu (yang berkembang-biak memenuhi ruang)
d) Asal (yang asli atau yang yang tulin menerima agama Islam dari Seruan Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W.)
e) Bangsa (rasmi) kebangsaan (Warga Angin Bawah Bayu Merdeka)
f) Pegang Teguh Agama Islam – berpaut kukuh kepada agama Samawi.

(AHLI JAWI MELAYU ASAL BANGSA KEBANGSAAN PEGANG TEGUH AGAMA ISLAM – Sekira-kiranya pewaris asabah kepada satu bangsa beragama) (menyamai dengan zaman kegemilangan Islam lampau) atau ringkasnya Pemimpin Yang Berbudi Pekerti Mulia dan Nurnya Meliputi Alam (Khalifah) Kemudian Sultan Muzaffar 1 memperkenalkan kepada mata dunia bahawa ISLAM ITU MELAYU dan MELAYU ITU ISLAM.) (10)

(Nota 10) – Ada pendapat yang menyatakan bahawa perkataan "Melayu" itu adalah perkataan "Sanskrit" dan "bangsa atau keturunan Melayu" itu adalah dari India, China, Kemboja dsb. Dari segi keturunan pertalian darah dan sejarah asal-usul, kenyataan ini mungkin ada kebenarannya tetapi penamaan bangsa "Melayu" pada SEBELUM zaman Phra Ong Mahawanser telah dinafikan oleh ulama-ulama Nusantara serta menegaskan bahawa "Al-Mala-u" itu adalah dari kalam Lughatul Qur'an dan digunakan hanya semasa pemasyhuran nama bangsa yang baru di Nusantara setelah Phra Ong Mahawanser memeluk Islam dan ditukar gelaran kepada Sultan Muzaffar 1.

Ilmuwan Melayu Islam juga menyatakan gelaran "Al-Mala-u" diberikan kerana untuk memberikan peringatan kepada seluruh manusia adalah :

a. dari keturunan Nabi Allah Adam a.s. yang dijadikan Allah SWT di syurga Jannah drpd 14 (ada yang menyatakan 13) jenis tanah & telah dilantik menjadi Khalifatullah*

(di syurga atau di langit ketika itu dan akhirnya di bumi setelah Nabi Allah Adam a.s. bertaubat dengan mengucapkan dua kalimah syahadah) sehinggakan

b. malaikat juga diperintahkan sujud kpd. Nabi Allah Adam a.s. yang juga "Al-Mala-ul a'la" (penduduk langit) kerana semasa itu baginda berada di Syurga (di langit)

Ianya juga untuk mengingatkan umat Islam betapa mulianya makhluk yang bernama manusia bukan sahaja turun dari sulbi Adam a.s. yang berasal dari syurga malah

c. Seorang lagi bangsa manusia teragung di langit dan di bumi iaitu Nabi Muhammad S.A.W. telah diisrak-mikrajkan pula sehingga ke Sidratul Muntaha untuk bertemu Allah Azzawajalla (laitsakamithlihi syai-un)

d. Kerana zaman khalaf ini adalah zaman khalifah manhaj nubuwwah iaitu zaman yang terakhir sebelum kiamat dan umat Islam Melayu perlu diingatkan bahawa orang-orang beriman akan pulang ke tempat asalnya Adam a.s. dijadikan dan diberikan balasan syurga selepas Hari Qiamat dan Hari Pembalasan.

Hadis Qudsi di atas juga jelas bahawa Al-Mala-ul-a'la yang dimaksudkan adalah MANUSIA "yang diam di masjid, berjalan kaki untuk berjema’ah, menyempurnakan wudhu dalam suasana/keadaan tidak menyenangkan, barangsiapa melakukan hal itu maka ia hidup dengan baik dan mati dengan baik. Dia bersih dari dosa seperti baru dilahirkan Ibunya. Dan katakanlah wahai Muhammad bila kamu selesai solat “Ya Allah sesungguhnya aku memohon KepadaMu kebaikan-kebaikan, meninggalkan hal yang mungkar dan cinta kepada orang-orang miskin. Dan bila Engkau menginginkan fitnah bagi para hambamu maka cabutlah nyawaku kepadaMu dengan tanpa fitnah”. Dan Ad Darajah adalah dengan memberikan makanan, menyebarkan salam* dan solat malam saat manusia tidur”
*salam di sini bermaksud "Islam" (agama) - agama yang selamat (salam)

Selain itu Baginda Sultan Muzaffar telah bertaubat nasuha bersama-sama semua pembesar Istana dan para hulubalangnya termasuk seluruh rakyat jelata Kalaha di bawah bimbingan Syeikh Abdullah Al-Qumairy.

Akhirnya Negeri yang bernama Kalaha juga telah ditukar oleh Syeikh Abdullah Al-Qumairy kepada nama Kedah Darul Aman iaitu sebuah negeri yang aman dan merdeka dari segala bentuk kesyirikan, kekufuran dan keengkaran. Penamaan ini juga bersempena “Baldatun Thayyibah Wa Rabbun Ghafur” yang dipetik dari Firman Allah S.W.T. dalam Surah Saba: Ayat 15 yang bermaksud “Negeri yang baik (indah lagi makmur) dan Tuhan Maha Pengampun” (ke atas taubat hambaNya)

Sultan Muzaffar Syah 1 sangat mengasihi Syeikh Abdullah Al-Qumairy sehingga baginda telah melantik Syeikh Abdullah Al-Qumairy sebagai Guru dan Penasihat agama Islam baginda, kaum kerabat diraja dan juga seluruh Istana. Sultan Muzaffar Syah 1 juga telah mengangkat Syeikh Abdullah Al-Qumairy sebagai ayahanda angkat baginda.

Syeikh Abdullah Al-Qumairy juga telah menyarankan agar candi di puncak Gunung Jerai dimusnahkan dan diganti dengan sebuah menara untuk dijadikan tempat azan bagi menyeru umat Islam Kedah untuk bersolat. Sultan Muzaffar Syah 1 telah menitahkan agar permintaan Syeikh Abdullah Al-Qumairy dilaksanakan.

Setelah binaan menara tersebut hampir siap, Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah jatuh gering dan ditakdirkan wafat beberapa hari selepas itu. Sebelum kewafatannya, Syeikh Abdullah Al-Qumairy telah mewasiatkan agar jenazahnya dikebumikan di kawasan lapang berdekatan dengan binaan menara berkenaan. Kawasan itu dikenali kini sebagai Padang Tok Sheikh (mengambil sempena nama Syeikh Abdullah Al-Qumairy)

Guru Syeikh Abdullah iaitu Sayyidi Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani (wafat pada 561 Hijrah/1166 Masehi) pernah tiba beberapa kali di Gunung Jerai untuk menziarahi maqam muridnya, Syeikh Abdullah Al-Qumairy serta pernah bersolat di kawasan tanah lapang berkenaan di samping melantik Sultan Muzaffar Shah 1 sebagai pengganti kepada Syeikh Abdullah Al-Qumairy. (11)

--------------------

(Nota 11) : Sultan Aulia Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani telah mengesahkan pemakaian gelaran 'Sultan' ke atas Sultan Muzaffar Shah 1 yang membawa maksud 'Amirul Mukminin' (Pemimpin Orang-Orang Beriman) dan gelaran 'Shah' yang mirip maksudnya dengan 'Sayyid' - manusia terpilih yang diyakini pembela agama yang mempunyai akhlak yang tinggi.

Kisah ini disahkan oleh DYMM Sultan Badlishah, Raja Negeri Kedah Darul Aman yang ke 26, pernah memberitahu Syeikh Mahmud Nasri Osmani (12) bahawa baginda pernah mendengar cerita ayahandanya DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Raja Kedah 25) bahawa Sultan Muzaffar Shah 1 adalah :

"Raja Pemerintahan Negeri Kedah Tua, Pendiri Kekuatan Kuasa Pemerintahan Membentuk Wilayah Gugusan Selat Kepulauan Melayu terletak di antara India dan China disebut sebagai 'Alam Melayu'."

Baginda Sultan Muzaffar Shah 1 telah disahkan untuk memakai gelaran "Sultan" daripada Sultan Aulia Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani sekaligus meletakkan Sultan Muzaffar Shah 1 sebagai Sultan Pertama di Alam Melayu.

--------------------

Sumber dipetik 01/03/2012 : http://abjadmalaysia.blogspot.com/

Sunday 1 January 2012

SILAT KALIMAH MENDAKWA...

Silat Cekak ( Persatuan Silat Cekak, samada Cekak Malaysia ataupun Cekak Hanafi ) sering mendakwa bahawa Silat Kalimah adalah saduran (diambil) dari Silat Cekak. Ini disebabkan Azmi Long dan adiknya ; Redzuan Long ketika belajar daripada Pak Ya, mereka berdua adalah jurulatih-jurulatih Silat Cekak di zaman awal Ustaz Hanafi mengembangkannya. Dakwaan itu sebenarnya TIDAK BENAR kerana Pak Ya sendiri mempunyai teman-teman, anak tirinya dan murid-muridnya yang terlebih dahulu belajar Silat Kalimah sebelum Ustaz Hanafi. Cuba lihat kepada rekod yang dipaparkan di atas.
Ustaz Hanafi sendiri tidaklah belajar sehingga tamat peringkat kesemua peringkat Silat Kalimah, bahkan hanya sampai peringkat kedua sahaja. Dan peringkat kedua yang diterima itulah beliau jadikan sebagai pelajaran peringkat ketiga di dalam Silat Cekak yang beliau kembangkan di kemudian hari. (Insya-ALLAH, nanti akan dijelaskan di dalam tulisan lain mengenai debat di antara Pak Ya dan Cikgu Zahalan @ Mazlan Man (sekarang beliau adalah Pengasas PIKUM ) dengan Ustaz Hanafi di Konvensyen Silat Melayu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur mengenai yang mana satukah yang asli di antara Silat Kalimah dengan Silat Cekak).

PAKAIAN DAN SENJATA MENURUT SILAT KALIMAH


Izinkan penulis menjelaskan lagi agar minda kita lebih terbuka dan semakin jernih.
Mengapakah di dalam SILAT KALIMAH ini tiada “ SENJATA RASMI “ ? .  Parang Lading bukanlah “ SENJATA RASMI SILAT KALIMAH “ . Ia hanyalah ALAT PERTANIAN yang digunakan oleh guru-guru Silat Kalimah seperti Allahyarham Panglima Rasyid untuk memudahkan kerjanya bercucuk-tanam. Selepas digunakannya, disangkutlah parang lading itu di dinding rumahnya ataupun diselitkan sahaja di celah-celah kepingan papan yang menjadi dinding rumahnya . Tiada bukti lisan apatah lagi bertulis dari guru-guru Silat Kalimah termasuklah Pak Ya sendiri mahupun gurunya sendiri : Panglima Rasyid yang menyatakan bahawa “ PARANG LADING ADALAH SENJATA RASMI SILAT KALIMAH “ ! .
Tindak-tanduk ‘menobatkan’ alat pertanian seperti PARANG LADING itu sebagai sebuah senjata rasmi bagi sesebuah perguruan Silat Melayu BUKANLAH BERASAL DARI ajaran guru-guru lama Silat Kalimah melainkan ia hanyalah reka-rekaan dari perguruan lain yang mirip ‘ permainan ‘ nya dengan Silat Kalimah ini .
Parang Lading pun bukan , Kelewang pun bukan . Apatah lagi dengan lain-lain senjata tradisional Melayu . Yang ada , cumalah “ LATIHAN MENGGUNAKAN SENJATA UNTUK SESEBUAH PERTUNJUKAN “ . Inilah hakikat sebenarnya !. Jika tidak , sudah pasti SILIBUS PELAJARAN SILAT KALIMAH turut memuatkan senjata-senjata itu termasuklah Parang Lading dan Kelewang ( jika kedua-dua alat itu tetap mahu dianggap sebagai senjata tradisional ) . Namun , tidak ada sebarang rekod sahih mengenai hal itu .

MENGAPA PAK YAHYA SAID MENUKAR NAMA TEPISAN-TEPISAN DAN BUAH-BUAH SILAT KALIMAH ? Posted on 
Penulis ( Author & Admin blog ini ) merasakan hal ini perlu diketengahkan lebih dahulu berbanding tajuk-tajuk lain. Apatah lagi, topik ini sangat-sangat kurang dibicarakan sesama guru danpelatih Silat Kalimah. Insya-ALLAH sidang pengunjung dan pembaca blog ini boleh memilih apa-apa sahaja topik yang diminati.
Di zaman awal Allahyarham Pak Yahya Said (Pak Ya) mengembangkan Silat Kalimah, tidak dinafikan banyak nama silat lain yang berada di dalam silibus pelajaran Silat Kalimah ini.
Di antaranya ialah “Keputusan Gayung Fatani” (Silat Gayung Fatani) , “Keputusan Sendeng” (Silat Sendeng), “Keputusan Silat Terlak” , “Buah Pasong Kemanga” (Silat Kemanga), “Buah Hentak” (Silat Harimau) dan “Buah Lintau” (Silat Lintau).
Hal ini menyebabkan Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ketika itu ; Dato’ Haji Kamaruddin bin Mohd Isa (Menteri Besar Perak dari 18 Mac 1970 hingga 4 September 1974) “membuka mulut dan menasihati” Pak Ya. Sememangnya Pak Ya dan beliau mempunyai hubungan disebabkan Dato’ Kamaruddin sendiri berasal dari Batu Kurau, Perak (tempat di mana Pak Ya menetap selepas pencen dari kerja Polis).
Dato’ Haji Kamaruddin menyatakan : “  Pak Ya kata Silat Kalimah ini ada dakwah di dalamnya. Dan sebagai sebuah silat yang ada dakwah di dalamnya, tidak sepatutnya ada nama-nama silat lain yang seolah-olah menggambarkan  unsur-unsur memperlekehkan silat-silat lain itu ”.
Sebagai seorang hamba ALLAH yang biasanya suka “ akur akan hajat orang lain “ , “ meraikan pandangan orang lain “ , “ suka menceriakan kawan “ dan “ low profile ”, Pak Ya pun menerima akan nasihat Dato’ Kamaruddin itu. Apatah lagi Dato’ Kamaruddin sendiri pernah dididik dengan pengajian agama di pondok.
Semenjak itu, Pak Ya pun menukar nama-nama tepisan asas kepada nama-nama baru. Dari tepisan-tepisan yang disebut “ Kaedah A, B, C , D “ di tukar menjadi “ Takbir, Qiyam , Rukuk, Doa “. Dan nama-nama buah yang berunsur silat-silat lain itupun ditukar, sebagai contoh “Keputusan Gayung Fatani” ditukar menjadi “Doa Sambut” , Buah “Keputusan Sendeng” ditukar menjadi “Rukuk Dalam Kanan” , “Buah Hentak” (Silat Harimau) ditukar menjadi “Doa Atas” dan sebagainya.
Namun, Silat Cekak yang dibawa oleh Allahyarham Ustaz Hanafi Haji Ahmad masih mengekalkan lagi nama-nama lama di dalam buah-buah Silat Cekak.
...Begitulah kisah Pak Ya telah menukar nama-nama asal tepisan-tepisan dan buah-buah di dalam Silat Kalimah kerana tidak mahu sebarang unsur “ TAKBUR “ di dalam Silat Kalimah yang berasal-usul dari “Silat yang berisi dakwah di dalamnya”. Apatah lagi nama-nama baru ini benar-benar melambangkan bahawa “SILAT KALIMAH ADALAH SILAT YANG DIINSPIRASIKAN DARI PERGERAKAN-PERGERAKAN SOLAT “. Dan lebih-lebih lagi apabila dilihat kepada sosok-peribadi pengasas awal Silat Kalimah ini ; Syeikh Abdullah Al-Qumayri Ar-Rifa’ie Al-Qibrari @ Syeikh Tajreed (yang berasal dari Syahir-Yaman) adalah pendakwah yang telah berjaya mengislamkan Raja Kedah Tua di masa itu ; Raja Merong Mahawangsa II @ Maharaja Dhurbar Raja @ Sultan Mudzafar Syah I .