Tidak lengkap digelar orang Melayu, sekiranya tidak memiliki seni mempertahankan diri yang sinonim dengan masyarakat ini iaitu seni silat. Walaupun di Malaysia pelbagai jenis silat boleh dipelajari dengan gaya berbeza, tetapi matlamatnya semua sama untuk mempertahankan diri dari musuh atau bahaya. Ia juga banyak mendatangkan kebaikan kepada si pesilat sekiranya niat mereka untuk mempelajarinya adalah untuk kebaikan.
Namun ada sesetengah ibu bapa yang menolak dan melarang anak-anak mereka mempelajari seni silat ini kerana beranggapan ia penuh dengan ilmu sesat. Kononnya apabila mahu mula belajar silat, perlu meyimbah darah ayam keliling gelanggang terlebih dahulu dan bermacam lagi perkara yang bidaah.
Tetapi kini, semua perkara yang karut-marut telah mengalami perubahan kerana guru-guru silat sekarang sudah tahu tentang hukum dan perkara yang melibatkan bidaah dan khurafat. Amalan-amalan bertentangan dengan syariat agama Islam telah dibuang sepenuhnya.
Silat hindar kejadian tidak diingini
Penaung merangkap Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, Marui @ Marwi Latif berkata, tujuan silat atau seni mempertahankan diri yang utama adalah untuk mempertahankan diri dari serangan musuh.
Tetapi katanya, konsep ini seharusnya dilihat dengan lebih luas, kerana silat atau seni mempertahankan diri yang lain, bukan sahaja mengajar cara untuk berhadapan dengan musuh tetapi juga membina kekuatan jasmani pengamalnya.
“Setiap silat ada cara tersendiri dan kebanyakannya tidak menyimpang dari ajaran agama.
“Dalam apa juga perkara, kita perlu menyerahkan segalanya kepada ALLAH SWT dan berdoa agar segala apa yang kita kerjakan mendapat keredaan-NYA begitu juga dengan seni silat ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, semua perkara ini menepati kehendak Islam yang menginginkan penganutnya sentiasa sihat dan kuat. Sepertimana dalam sebuah hadith yang direkodkan Imam Muslim, bahawa Nabi SAW berkata:“Seorang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai oleh ALLAH daripada mukmin yang lemah.”
“Matlamat silat semuanya sama, iaitu mahukan kebaikan dan menghindar dari kejadian tidak diingini apabila ilmu mempertahan diri telah dipelajari.
“Saya juga pernah mendengar sesetengah silat mempunyai 'pendamping' jika mahu mempelajari silat, tetapi itu mungkin dahulu dan tidak lagi dipraktikkan kerana kebanyakan silat kini tahu batasan agama yang perlu diikuti,” katanya.
Bergantung kepada ALLAH
Marui yang telah berkecimpung dalam dunia persilatan sejak 1972 berkata, pendekatan Silat Cekak Hanafi ke arah tauhid atau pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah iaitu perlu berusaha melatih diri dalam mempertahankan diri bersungguh-sungguh, tetapi jangan bergantung kepada diri sendiri kerana kuasa yang mutlak adalah di sisi ALLAH semata. Justeru mesti berlatih bersungguh-sungguh kemudian tawakkal atau berserah diri kepada ALLAH.
“Kebanyakan masyarakat luar yang tidak tahu latar belakang silat akan membuat pelbagai andaian yang tidak benar mengenai ilmu persilatan ini.
“Justeru, sebaiknya mereka perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai silat itu dengan pihak yang berkaitan atau dengan guru silat itu sendiri agar mereka tahu bahawa silat tersebut tidak ada unsur-unsur karut diamalkan,” jelasnya.
Beliau yang mempunyai empat cahaya mata berkata, mempelajari silat itu satu kelebihan yang perlu dipelajari, terutama masyarakat Melayu kerana ia menggambarkan warisan Melayu seperti kaum lain yang memiliki seni mempertahankan diri masing-masing.
“Cuma apa yang perlu dilakukan adalah selidik terlebih dahulu silat berkenaan adakah ia berlandaskan agama ataupun tidak seterusnya baru mempelajarinya," ujarnya.
Diturunkan generasi ke generasi
Tambahnya, Silat Cekak Hanafi ini ada beberapa peringkat untuk dipelajari yang mengambil masa tujuh bulan untuk ditamatkan. Namun walaupun telah tamat belajar, pesilat masih boleh meneruskan pembelajaran mereka sehingga masih berminat.
“Hal ini kerana, jika tidak diamalkan, silat itu mungkin akan dilupakan dan ia hanya mendatangkan kerugian kepada pesilat itu. Ia banyak memberi kelebihan selagi niat belajar silat itu untuk kebaikan.
“Justeru, sejak ditubuhkan sehingga kini, masih ada pesilat yang terus bersilat walaupun usia mereka telah lanjut dan ada juga yang menjadi penyelia kelas serta jurulatih di samping menyampaikan ilmu ini kepada generasi sekarang,” katanya.
Kelebihan silat juga, diajar agar tidak boleh derhaka kepada guru, tidak boleh derhaka kepada ibu, tidak boleh derhaka kepada bapa, tidak boleh bergaduh sesama ahli dan tidak boleh mencaci silat Melayu asli lain.
“Pesilat bukan hanya belajar silat semata-mata, tetapi mereka belajar semua perkara mengenai kehidupan agar ilmu ini tidak sia-sia,” katanya.
Kesimpulannya, seni mempertahankan diri atau seni bela diri tidak kiralah sama ada silat, tekwando, aikido dan lain-lain, haruslah bersih daripada perbuatan yang menyalahi syariat serta tidak mendatangkan bahaya kepada pengamalnya.
- Dipetik daripada Web Cekak Hanafi petikan Akhbar Sinar Harian, 28 Oktober 2011
No comments:
Post a Comment