Matanya yang tajam sekadar dua jarak mata si pemakai. Maka tiap-tiap yang terlihat dan terdengar maka sampailah ia. Sembunyi tempatnya seolah pemalu sifatnya.

Monday 12 March 2012

Belasungkawa: YM Ustaz Ishak Itam kembali ke Rahmatullah.

Bukit Mertajam (Isnin):  YM Tuan Haji Ishak Itam, 79 (kalendar hijriah) Guru Utama Silat Cekak Malaysia telah kembali ke rahmatullah pada 19 Rabiul Akhir 1433 jam 4:45pm sejurus selepas azan asar hari ini.

Guru Utama Silat Cekak Malaysia
1986 - 2012

Alfatihah.

Sekian - sumber.



Belasungkawa:
Almarhum YM Tuan Haji Ishak Itam dilahirkan pada tanggal 22hb Julai 1935 bersamaan 20hb Rabiul Akhir 1354 hari Isnin, di kampung (Batu 9) dalam mukim Tanah Liat, Bukit Mertajam, Seberang Perai. Merupakan seorang anak pertama lelaki yang dilahirkan kepada Patimah dan Itam bin Saad. Haji Ishak mempunyai titisan benih jalinan ulama melalui keturunan ayah beliau, Itam bin Saad yang merupakan seorang Hafiz Al-Quran, manakala Tok Mohsin ayah kepada Saad adalah berketurunan Banjar yang berasal dari Indonesia dan telah dilahirkan dalam keluarga para ulama terbilang. Ibu beliau pula berketurunan Melayu dari Setui melalui talian darah dengan Tok Jusof iaitu bapa kepada Tok Sopiah yang telah melahirkan Patimah, ibu kepada Haji Ishak bin Itam. Bapa kepada ibu beliau pula iaitu Mat Udin ialah anak seorang panglima istana kerajaan negeri Perlis yang digelar Panglima Taha.

Almarhum sejak dari kecil lagi telah meminati seni silat Melayu, iaitu bermula dari umur 9 tahun sehingga ke umur 18 tahun beliau telah mempelajari Silat Gayung Fatani melalui bapa saudaranya En. Bakar dan En. Shafie b. Din. Seterusnya beliau mempelajari Silat Kuntau Jawa dari En. Hassan Jawa selama 2 tahun dan kemudiannya telah mempelajari Silat Sendeng dan Silat Minangkabau.  Kemudian beliau mempelajari pula Tomoi Siam dari En. Osman b. Ahmad (Man Balak) sehingga beliau menjadi Guru Tomoi selama 2 tahun. 



Selain daripada ilmu persilatan, beliau telah mempelajari ilmu kebatinan melalui Ustaz Azizan (Izan). Di samping itu, beliau telah mempelajari cara-cara membuat ubat tradisional merawat penyakit kencing manis. Tuan Haji Ishak b. Itam juga pernah mendapat pendidikan agama secara formal di Pondok Tuan Haji Mat Salleh Mesir, Tanah Liat yang pada masa ini menempatkan Maktab Adabi. Kemudian belajar pula di Pondok Pokok Sena (tafsir) dengan Tuan Guru Haji Ahmad b. Tuan Haji Hussein. 



Almarhum mula mempelajari Silat Cekak pada tahun 1969, apabila YM Ustaz Haji Hanafi b. Haji Ahmad telah dapat membuka kelas di Bukit Mertajam bertempat di Kubang Semang iaitu terletak lebih kurang 2 batu dari Cawangan PSSCM Seberang Perai pada masa sekarang ini. YM Tuan Hj Ishak bin Itam telah berjaya belajar silat ini selama 30 hari latihan sahaja. 

Setiap kali latihan, beliau sering dipukul oleh YM Ustaz Haji Hanafi dengan pokok teh pagar yang bertujuan hendak mengajar beliau supaya bersabar dan menerima ilmu silat ini dengan ikhlas hati dari tangan gurunya sendiri disamping menerima berbagai ujian dari gurunya. 

YM Ustaz Hanafi b. Haji Ahmad kemudiannya telah melantik beliau menjadi jurulatih. 

Sepanjang penglibatan beliau sebagai jurulatih, banyak tempat dan Cawangan serta Kelas Latihan telah disertainya termasuklah di TUDM Butterworth (1977), Kepala Batas (1978), Cheruk Tok Kun (1975) dan di Kulim (1982). Beliau seringkali berulang alik mengajar silat ini di S. Perai dan P. Pinang. 

Apabila YM Ustaz Haji Hanafi kembali ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986, YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah diisytiharkan sebagai YM Guru Utama pada 21 September 1986. Kelas pertama diijazahkan oleh beliau sebagai Guru Utama adalah di UPM pada 13 Oktober 1986 seramai 27 orang. 

Almarhum YM Tuan Haji Ishak b. Itam adalah seorang seorang pemimpin berjiwa resmi padi, "low profile", seorang pendidik yang penyabar, tenang dalam segala hal, tabah menghadapi segala dugaan, sehinggalah beliau kembali kerahmatulah pada 12 March 2012 bersamaan 19hb Rabiul Akhir 1433 Hijrah, selepas Asar, hari Isnin pada usia 79 tahun.

Sesungguhnya tiada ganti serupa lagi setelah pemergiannya.

Al Fatihah buat Almarhum YM Tuan Haji Ishak Itam.





1 comment:

  1. You entered: 22 / 7 / 1935
    The conversion result is: Monday 21 Raby` al-THaany 1354 A.H.
    *There is a small probability of one day error.

    You entered: 12 / 3 / 2012
    The conversion result is: Monday 19 Raby` al-THaany 1433 A.H.
    *There is a small probability of one day error.

    Average 20 Raby' Thaany (Rabiul Akhir) 1433 A.H Within Monday.

    ReplyDelete