Penulisnya menuduh: pertama, kenapa Ustaz Hanafi menjadi guru silat cekak, sedangkan gurunya masih hidup lagi?
Jawab: Saya menjadi guru silat cekak selepas tamat semua pelajaran. Kemudian saya diberi mandat dan kuasa oleh guru saya. Semua syarat untuk menjadi guru telah diwarisi. Radzuan Long dan abangnya Azmi Long pernah belajar dengan saya pada 10 Januari 1969 di dalam Badan P.S.S.B Seri Kedah. Nombor daftar menjadi ahli 90 bagi Azmi, 91 bagi Radzuan. Kenapa di masa itu tidak ditanya masalah ini?
Kedua: Sebenarnya silat cekak dari Kalimah.
Jawab: Pengakuan ini palsu semata-mata kerana nama silat cekak lahir di Seri Kedah pada 28hb. Disember 1965 bersamaan 5 Ramadhan 1385 di rumah kediaman Shafie Darus, batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar Kedah. Sementara silat Kalimah lahir pada 26hb. November 1971, terdaftar di Pulau Pinang dan alamatnya Sg. Petani, bukan Batu Caves, Kuala Lumpur.
Kemudian, penulisnya mendakwa: Pertama, kata-kata “Silat Aku Silat Kalimah Aku Silat Dalam Kalimah” adalah hak Silat Kalimah.
Jawab: Perkataan Silat Aku Silat Kalimah Aku Silat Dalam Kalimah” mula lahir dari silat cekak. (Lihat keterangan di dalam buku cenderamata Pesta Drama dan Tari Seri Kedah pada 13hb. September 1966 di bawah tajuk “Sedikit Tentang SILAT KEDAH ATAU SILAT CEKAK dari Segi Falsafah, Sejarah dan Kaedah.”)
Kedua: Kata-kata “Ajib Ya Khadam Harful Ba’ Saidul Kharhayail Takunu Kadaihajati” disifatkan sebagai doa yang besar dan asli.
Jawab: Doa itu yang diakui sah dan asli oleh Jahid bin Hj. Sidek (Tutor Pengajian Islam Universiti Malaya) adalah tidak benar. Kerana, doa sebenarnya meminta pertolongan kepada Allah bukan kepada makhluk seperti khadam huruf “BA” yang dimaksudkan dalam makna ayat di atas. Di dalam akidah Islam, meminta pertolongan hanya kepada Allah bukan kepada makhluk. Ilmu yang berkait dengan khadam bukan berasal dari Islam dan tidak pula mengikut Sunah Rasul dan Khulafak Rashudin. Kebanyakan ilmu-ilmu khadam bahkan datangnya dari Maghribi (tempat turunnya segala sihir-sihir). Pengajaran Islam yang sebenar beriman dan mengesakan Tuhan malah mengenal Allah (MAKRIFATULLAH). Orang-orang yang memakai ilmu khadam itu termasuk dalam golongan syirik Khafi (menyengutui Allah yang tersembunyi.)
Ketiga: mengikut sejarah, Tuah dibunuh oleh Panglima Kalimah di Kerian, Perak. Perak masa itu dalam pemerintahan Kedah.
Jawab: sebenarnya Tuah (bukan Hang Tuah) dibunuh oleh PANGLIMA silat cekak. Sejarah ini telah tersiar dalam Utusan Zaman ditulis sebagai ASAL USUL SILAT CEKAK oleh Masur Tobing pada 23hb. Oktober 1966. Ketika itu silat kalimah belum wujud lagi. Nampaknya Sdr Radzuan telah mencedok cerita sejarah itu.
Keempat: Kepada orang biasa diajar cuma sebanyak 12 hingga 21 buah dan dipanggil silat cekak. Kalau diajar sepenuhnya silat itu silat kalimah.
Jawab: ini tidaklah betul. Sebenarnya jika mulanya silat cekak akhirnya pun silat cekak juga. Sdr Radzuan masih belum faham apa yang dinamakan silat cekak dan sebab-sebab ia dinamakan sedemikian. Tegasnya sdr Radzuan belum tahkik mengenai ilmu silat yang sejati. Penuntut-penuntut silat cekak diajar hingga tamat (buah serang yang sebijik) tanpa mengira apa-apa martabat.
Kelima: silat kalimah tidak undur ke belakang tapi mara ke hadapan dengan geraksemula jadi (normal).
Jawab: ini adalah konsep silat cekak seperti yang tertulis delam kertas kerja silat cekak untuk Konvesyen Seni Silat Melayu di Pulai Pinang baru-baru ini.
Keenam: ‘….. dan nyata silat cekak sama saja dengan silat kalimah.”
Jawab: sebenarnya silat kalimah berpunca dari silat cekak. Cuma namanya sahaja diubah oleh Sdr. Radzuan.
Ketujuh: Parang lading adalah senjata kalimah.
Jawab: Sebenarnya parang lading adalah satu-satunya senjata silat cekak sperti yang ditulis dalam kertas kerja silat cekak di Konvensyen Seni Silat Melayu. Pemakaian parang lading adalah mengikut ukuran diri sendiri dan tidak boleh dipinjam dan diwarisi. Cara mengukur parang lading dan menyesuaikannya dengan langkah-langkah masih di dalam tangan silat cekak, bukan dalam silat kalimah. Ini jelas kerana dalam Konvensyen dahulu Silat Kalimah menggunakan lambang Kelewang (Kelantan) bukannya lading.
Kelapan: Kata-kata ‘dari hasil seni bukan sukan” dan “penggunaan nama-nama Kaedah A, B, C, D oleh silat kalimah”.
Jawab: kata-kata ini telah digunakan dalam kertas kerja silat cekak untuk konvensyen. Jelas, banyak kata dan konsep dalam kertas kerja yang saya tulis telah digunakan oleh Radzuan (palagiat telah banyak dilakukan). Malahan Radzuan telah menggunakan konsep: tangan di tempat tangan, kaki di tempat kaki” yang juga berasal dari kertaskerja silat cekak untuk menegakkan silat kalimahnya.
Kaedah silat cekak yang sebenarnya adalah seperti berikut: Buah Doa “Dipanggil ‘Sambut’, Kaedah ‘A’
- Buah Pertama
- Buah Keputusan Gayung Petani
- Buah Kidung Kiri
- Buah Kidung Kanan
- Buah Paras Kiri dan Kanan
- Buah Ali Patah Atas
- Buah Ali Patah Sudah
- Buah Kilas Belakang
- Buah Sengkak
- Buah Hentak (keputusan Harimau)
Buah Qiam dipanggil Kaedah Kuntau. Kaedah ‘B’
- Buah kuntau Kiri
- Buah Kuntau Kanan
- Buah Kuntau Jatuh
- Buah Kuntau Kiri Gantung
- Buah Kuntau Kanan Gantung
- Buah Gari 1 dan 2
- Buah Keputusan Sendeng Atas Cara Dalam
- Buah Ali Patah Sudah cara ‘B’
Buah Ruku’ dipanggil Kaedah Kuntau Pukulan Bawah, Kaedah ‘C’
- Buah Kilas Hadapan
- Boleh juga Kilas Belakang dengan cara Kaedah ‘C’
- Buah Keputusan Terlak
- Buah Keputusan Lintau
- Buah Tengkisan Penendang
- Buah Tengkisan Tikaman Tat?
Buah Takbir dipanggil Kaedah Kuntau Tengkisan, Kaedah ‘D’
- Buah Hempuk
- Boleh juga dibuat Buah Kuntau Kiri
Kesimpulannya silat cekak mempunyai kaedah yang teratur, boleh menengkis pukulan silat dan kuntau. Sebab itu ia dinamakan seni silat cekak (silat yang bertanggungjawab) yang suci, murni, asli, dan bukan ciptaan atau rekaan baru.
Jadi nama-nama seperti “buah pasung belakang”, “pasung hadapan”, dan “Gerak Maut”, yang disebutkan oleh Saudara Radzuan dalam silat kalimahnya adalah nama-nama baharu yang direkanya.
Sekarang kita kaji sejarah perkembangan silat cekak dan tarikh lahirnya silat kalimah. Silat cekak dilahirkan pada 28hb Disember 1965 bersamaan dengan 5 Ramadhan 1385 menerusi P.S.S.B Seri Kedah.
Ketika itu seksi silatnya dipengerusikan oleh saya sendiri. Penubuhannya dirasmikan di rumah Encik Shafie Darus batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar Kedah. Nama silat cekak, buah-buah dan penangkap-penangkapnya diberikan oleh Sdr Yahya bin Said dari Taiping.
Sdr Yahya mengajar silat cekak dalam Seri Kedah di dua buah kelas sahaja. Di rumah Shafie Darus batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar dan di Alor Merah yang kemudiannya berpindah ke Telok Wan Jah di rumah Othman Ahmad, Alor Setar.
Setelah tamat kursus di kedua-dua buah kelas ini, Yahya mohon berhenti mengajar dan menyerahkan semua mandat (kuasa) dan syarat-syarat menjadi guru kepada saya untuk terus mengajar dan mengembangkan silat ini.
Pada 10 Januari 1969 Azmi dan Radzuan, dua beradik masuk belajar Silat Cekak ini dengan saya. Mereka menjadi ahli Seri Kedah di Sungai Petani, Nombor pendaftaran Azmi Long 90 dan Radzuan Long 91.
Pada 7hb. November 1969, Azmi dan Radzuan Long dipecat menjadi ahli Seri Kedah kerana dasar dan polisi mereka yang bertentangan. Tegasnya mereka menentang saya, gurunya, (bukan Sdr Yahya Said).
Pada 26hb. November 1971, mereka menubuhkan Persatuan Kalimah (bukan Silat Kalimah) didaftarkan di Pulau Pinang. Penubuhan ini dibuat apabila mereka menemui Yahya Said selepas dipecat kerana menentang saya, guru mereka berdua.
Saya telah mengembangkan silat cekak dari Kedah hingga terbentuk Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia pada 19hb. Ogos 1971 yang didaftarkan di Selangor dan bertaraf nasional. Nombor pendaftarannya ialah 973.
Demikianlah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan Persatuan Kalimah lahir berasingan dan terserah kepada semua menentukan yang mana satu benar dan asli.
Jelas kini saya telah melahirkan silat cekak yang selama 40 tahun terpendam di dada Yahya Said tanpa diketahui orang. Saya mengenengahkannya kerana kepentingan kebudayaan Melayu, menimbulkan pusaka Melayu yang asli lagi bertanggungjawab agar mutu seni ini dapat dibanggakan.
Setelah menentang guru mereka sendiri mereka masih memakai dan mengaku nilai seni itu sehingga mereka kemudian mengubah nama silat cekak itu menjadi silat kalimah. Tapi yang benar tetap benar.
Selepas dimandatkan menjadi guru silat ini saya tidak terus berpuas hati setakat itu saja. Dengan pengalaman sejak usia lapan belas tahun, dalam seni silat dan kebatinan Islam sejati saya buat kajian dan menapis segala seni silat untuk disesuaikan dengan tujuan bersilat dan sejajar pula dengan peraturan agama Islam.
Saya membuat kesimpulan bahawa seni silat cekak ialah seni silat bukan silat semata-mata. Perbezaan seni dengan bukan seni adalah sangat jauh laksana bumi dengan langit. Semua cabang seni seperti seni sastra, seni tari, seni lukis, seni suara, seni dalam kajian filsafat serta Sufi dan seni silat masing-masing mempunyai bakat yang tersendiri.
Bakat seni silat ialah keras lembut yang bermaksud tetap pendirian bukan degil. Lemah lembut pada zahirnya bererti tidak bongkak (ego) dan menerima kebenaran. Tetapi akan berkeras untuk menegakkan yang hak. Bakat asli ini jika diasuh dan dididik akan mencapai keistimewaan, tetapi yang tidak berbakat tetapi ada kemahuan hanya mencapai sekadar ‘dapat’ sahaja.
Konsep seni silat mestilah dibezakan dengan sukan. Dalam hubungan ini segala kajian silat mempertahan diri yang tidak bertaraf seni dipanggil silat yang bertaraf sukan. Seni silat dan sukan sama-sama mempunyai pergerakan antara kedua jenis ini sangat jauh bezanya.
Seni silat bergerak secara halus sejajar dengan pergerakan semula jadi (normal) dan sememangnya sesuai dipanggil seni. Manakala pergerakan silat jenis sukan bergerak bukan cara normal (pergerakan yang dibuat-buat)
Adalah silap kalau dikatakan jenis pertahanan diri yang diimport dari luar sebagai satu hasil seni kerana pergerakan mereka berdasarkan gerak kasar (bukan normal). Tegasnya jenis pertahanan diri ini tergolong dalam sukan dalam mana kekuatan menjadi ukuran.
Pergerakan seni silat adalah halus. Ahli-ahli seni silat yang asli memahami pergerakan halus (BERDENYUT dalam istilat silat), berdasarkan pergerakan yang menurut bukan membangkang.
Pergerakan yang membangkang memerlukan tenaga yang kuat justeru ia sejenis sukan. Ahli seni silat yang sebenar boleh menewaskan musuh yang lebih kuat dan bertenaga darinya dengan kaedah yang bijaksana. Cuma silat cekak sahaja yang mempunyai sifat-sifat demikian.
Saya telah mengkaji perkataan ‘cekak’ ini dengan mendalam. Saya pasti perkataan cekak ini bertalian erat dengan tatatbahasa Melayu “makan cekak’ yang bermakna kesanggupan serta bertanggungjawab dalam menjalankan sesuatu tugas.
Dalam bahasa Bawean cekak bererti keras. Silat Cekak bererti silat keras atau lebih tepat tetap pendirian dan sanggup bertanggungjawab. Dalam bahasa Minangkabau, cekak bererti “bergaduh” iaitu dari perkataan “BERcHAKAK”.
Jadi silat cekak bererti silat yang boleh dibawa bertarung untuk mempertahankan diri. Jelas, dari segi asas perkataan, cekak sesuai dikaitkan dengan seni mempertahankan diri yang bertanggungjawab. Maka itu ia dinamakan silat cekak.
Perkataan asal “cekak” ini dikaitkan pula dengan praktikalnya, yang mengkaji pergerakan. Jadi pada lahirnya sesuai dinamakan silat cekak dan pada batinnya (hakikatnya) silat gerak. Ini sejajar pula jika dikira huruf jawi bagi kedua-dua perkataan itu: cekak (, , ) dan gerak (,, ), sepadan pula dengan perkataan itu Quran (lahir) dan Furkan (hakikatnya)
Jadi seseorang yang mempelajari silat cekak mesti sampai pada pengertiannya kepada pergerakan baharulah tahkik pada ilmu silat yang sebenarnya. Jika tidak ia hanya dapat kulit sahaja. Sesudah tahkik seseorang itu maka baharulah ia sampai kepada GERAK yakni makan segerak (makan gerak dalam gerak) dan dapat menentang musuh sama ada yang dapat dilihat atau tidak, disedari atau tidak terang atau dalam gelap. Bila peringkat ini dicapai baharulah ia sampai ke “MAKAN GERAK”.
Bukan “makan cekak” cara belajar buah 12-21 seperti yang diterangkan oleh Sdr Radzuan. Faham akan semua peringkat, baharulah seseorang itu layak menjadi penganjur, dan pemimpin silat yang sebenarnya. Jika sekadar sampai pada kulit silat sahaja tanpa “ruh” silat yang sejati ia tidak layak menerima warisan pusaka.
Jika diterima juga ia dianggap perampas kerana tidak mempunyai peribadi amanah. Bila sudah ada amanah dan peribadi keimanan yang sejati baharulah ia layak menjadi GURU.
Jika tidak maka guru itu ibarat kencing berdiri, murid kencing berlari. Pelajar dengan guru demikian bermakna seseorang itu akan menjadi bertambah jahat, bongkak dan sombong. Sebaliknya guru yang sebenar guru (murshid) mempunyai telatah dan peribadi yang tinggi, boleh memimpin ke jalan yang diredhai Allah.
Di dalam peraturan silat cekak konsep ini jelas diutarakan. Pertama perpaduan dengan guru yang sebenar-benarnya guru (murshid), bukan yang fasik dan munafik. Kedua, perpaduan dengan ibu bapa (rumah tangga) yang telah melahirkan kita. Ketiga, perpaduan sesama ahli silat, bukan untuk berpecah belah. Keempat, konsep terhadap masyarakat umum khasnya seluruh masyarakat silat Melayu yang benar-benar asli.
Saya juga telah menganalisa amalan dan buah-buah seni silat cekak itu sendiri. Mungkin anasir luar ada tersadur di dalam silat itu hingga bercanggah tujuan asal ilmu silat ini dengan akidah agama islam khususnya. Jadi saya mengekalkan amalan-amalan yang sesuai dengan asas Islam dan membuang segala yang bertentangan. Saya mempunyai alasan-alasan yang sesuai dan praktikal untuk mengenepikan pemakaian beberapa buah yang agak bertentangan dengan tujuan menuntut ilmu silat.
- Buah Rasa dan Pecahan dari Keputusan Gayung Petani (Buah Pusing tangan) telah diketepikan kerana buah-buah tersebut adalah seperti buah silat untuk permainan (pulut) sahaja.
- Buah Sengkak tidak dipakai kerana membahayakan diri orang yang menggunakannya.
- Buah Keputusan Sending Bawah Kiri dan Kanan ditinggalkan kerana dipandang sia-sia (memakan waktu).
- Buah Kedung Kanan didapati sama dengan Kuntau Kanan gantung pemakannya.
Anihnya terdapat sejenis buah dalam cekak yang dinamakan “Buah Kusyen”. Buah ini sungguh pantas dan boleh digunakan di tempat-tempat yang sempit dan dicorok-corok ruang. Ia boleh digunakan semasa duduk di atas kusyen kereta. Jika diserang dalam kereta insya-Allah penyerang itu akan tertewas. Sebab itu ia dinamakan Buah Kusyen (sebelumnya buah ini tidak bernama).
Dengan penjelasan dan bukti-bukti yang dibentangkan di atas maka sewajarnyalah seni silat pusaka bangsa ini dinamakan silat cekak kerana pada hakikatnya seni silat cekak itu silat gerak, satu silat lojik.
Mengubah nama silat cekak itu kepada nama-nama lain seperti silat kalimah bererti penyelewengan dalam perwarisan pusaka Melayu asli. Sudah cukup jelas bahwa silat kalimah itu adalah silat cekak.
Kepada yang tidak puas hati dengan penjelasan ini, dapat kiranya berhubung dengan ibu pejabat Persatuan Seni Silat Cekak, 32 Jalan Hj. Sirat, Kampung Baharu, Kuala Lumpur untuk keterangan lanjut.
komen SERASI: Sejarah Silat Cekak yang berasaskan sumber daripada SILAT KALIMAH tidak boleh dipakai sama sekali. Pasti terdapat unsur seleweng yang akan membawa Silat Cekak ke arah yang tidak mendatangkan manafaat buat penuntut dan pengamalnya. Silat Kalimah sentiasa cuba mendapatkan "advantage" dengan mendahului tetapi terbukti pendahuluan mereka palsu dan sering tersasar daripada Realiti Sejarah Silat Cekak. Maka ahli sejarah realiti silat cekak mestilah sentiasa berwaspada dalam hal ini. Wassalam.