Matanya yang tajam sekadar dua jarak mata si pemakai. Maka tiap-tiap yang terlihat dan terdengar maka sampailah ia. Sembunyi tempatnya seolah pemalu sifatnya.

Saturday 31 March 2012

Keaslian Silat Cekak Usah Diragukan - Hanafi Hj. Ahmad

Saya sangat tertarik membaca ulasan Radzuan Long mengenai Silat Cekak (Dewan Masyarakat – Ogos) yang disiarkan dalam Dewan Masyarakat September 1973. Sebenarnya ulasan Radzuan Long merupakan satu tuduhan yang mengelirukan dan mungkin pula membahayakan. Tuduhan yang tidak berasas ini memburukkan nama silat cekak. Tuduhan yang sama pernah di lemparkan dalam Konvensyen Seni Silat Melayu di Universiti Sains Pulau Pinang pada 12hb – 14hb 1973 lalu. Sekarang sudah berlarutan pula ke dalam Dewan Masyarakat.

Penulisnya menuduh: pertama, kenapa Ustaz Hanafi menjadi guru silat cekak, sedangkan gurunya masih hidup lagi?

Jawab: Saya menjadi guru silat cekak selepas tamat semua pelajaran. Kemudian saya diberi mandat dan kuasa oleh guru saya. Semua syarat untuk menjadi guru telah diwarisi. Radzuan Long dan abangnya Azmi Long pernah belajar dengan saya pada 10 Januari 1969 di dalam Badan P.S.S.B Seri Kedah. Nombor daftar menjadi ahli 90 bagi Azmi, 91 bagi Radzuan. Kenapa di masa itu tidak ditanya masalah ini?

Kedua: Sebenarnya silat cekak dari Kalimah.

Jawab: Pengakuan ini palsu semata-mata kerana nama silat cekak lahir di Seri Kedah pada 28hb. Disember 1965 bersamaan 5 Ramadhan 1385 di rumah kediaman Shafie Darus, batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar Kedah. Sementara silat Kalimah lahir pada 26hb. November 1971, terdaftar di Pulau Pinang dan alamatnya Sg. Petani, bukan Batu Caves, Kuala Lumpur.

Kemudian, penulisnya mendakwa: Pertama, kata-kata “Silat Aku Silat Kalimah Aku Silat Dalam Kalimah” adalah hak Silat Kalimah.

Jawab: Perkataan Silat Aku Silat Kalimah Aku Silat Dalam Kalimah” mula lahir dari silat cekak. (Lihat keterangan di dalam buku cenderamata Pesta Drama dan Tari Seri Kedah pada 13hb. September 1966 di bawah tajuk “Sedikit Tentang SILAT KEDAH ATAU SILAT CEKAK dari Segi Falsafah, Sejarah dan Kaedah.”)

Kedua: Kata-kata “Ajib Ya Khadam Harful Ba’ Saidul Kharhayail Takunu Kadaihajati” disifatkan sebagai doa yang besar dan asli.

Jawab: Doa itu yang diakui sah dan asli oleh Jahid bin Hj. Sidek (Tutor Pengajian Islam Universiti Malaya) adalah tidak benar. Kerana, doa sebenarnya meminta pertolongan kepada Allah bukan kepada makhluk seperti khadam huruf “BA” yang dimaksudkan dalam makna ayat di atas. Di dalam akidah Islam, meminta pertolongan hanya kepada Allah bukan kepada makhluk. Ilmu yang berkait dengan khadam bukan berasal dari Islam dan tidak pula mengikut Sunah Rasul dan Khulafak Rashudin. Kebanyakan ilmu-ilmu khadam bahkan datangnya dari Maghribi (tempat turunnya segala sihir-sihir). Pengajaran Islam yang sebenar beriman dan mengesakan Tuhan malah mengenal Allah (MAKRIFATULLAH). Orang-orang yang memakai ilmu khadam itu termasuk dalam golongan syirik Khafi (menyengutui Allah yang tersembunyi.)

Ketiga: mengikut sejarah, Tuah dibunuh oleh Panglima Kalimah di Kerian, Perak. Perak masa itu dalam pemerintahan Kedah.

Jawab: sebenarnya Tuah (bukan Hang Tuah) dibunuh oleh PANGLIMA silat cekak. Sejarah ini telah tersiar dalam Utusan Zaman ditulis sebagai ASAL USUL SILAT CEKAK oleh Masur Tobing pada 23hb. Oktober 1966. Ketika itu silat kalimah belum wujud lagi. Nampaknya Sdr Radzuan telah mencedok cerita sejarah itu.

Keempat: Kepada orang biasa diajar cuma sebanyak 12 hingga 21 buah dan dipanggil silat cekak. Kalau diajar sepenuhnya silat itu silat kalimah.

Jawab: ini tidaklah betul. Sebenarnya jika mulanya silat cekak akhirnya pun silat cekak juga. Sdr Radzuan masih belum faham apa yang dinamakan silat cekak dan sebab-sebab ia dinamakan sedemikian. Tegasnya sdr Radzuan belum tahkik mengenai ilmu silat yang sejati. Penuntut-penuntut silat cekak diajar hingga tamat (buah serang yang sebijik) tanpa mengira apa-apa martabat.

Kelima: silat kalimah tidak undur ke belakang tapi mara ke hadapan dengan geraksemula jadi (normal).

Jawab: ini adalah konsep silat cekak seperti yang tertulis delam kertas kerja silat cekak untuk Konvesyen Seni Silat Melayu di Pulai Pinang baru-baru ini.

Keenam: ‘….. dan nyata silat cekak sama saja dengan silat kalimah.”

Jawab: sebenarnya silat kalimah berpunca dari silat cekak. Cuma namanya sahaja diubah oleh Sdr. Radzuan.

Ketujuh: Parang lading adalah senjata kalimah.

Jawab: Sebenarnya parang lading adalah satu-satunya senjata silat cekak sperti yang ditulis dalam kertas kerja silat cekak di Konvensyen Seni Silat Melayu. Pemakaian parang lading adalah mengikut ukuran diri sendiri dan tidak boleh dipinjam dan diwarisi. Cara mengukur parang lading dan menyesuaikannya dengan langkah-langkah masih di dalam tangan silat cekak, bukan dalam silat kalimah. Ini jelas kerana dalam Konvensyen dahulu Silat Kalimah menggunakan lambang Kelewang (Kelantan) bukannya lading.

Kelapan: Kata-kata ‘dari hasil seni bukan sukan” dan “penggunaan nama-nama Kaedah A, B, C, D oleh silat kalimah”.

Jawab: kata-kata ini telah digunakan dalam kertas kerja silat cekak untuk konvensyen. Jelas, banyak kata dan konsep dalam kertas kerja yang saya tulis telah digunakan oleh Radzuan (palagiat telah banyak dilakukan). Malahan Radzuan telah menggunakan konsep: tangan di tempat tangan, kaki di tempat kaki” yang juga berasal dari kertaskerja silat cekak untuk menegakkan silat kalimahnya.

Kaedah silat cekak yang sebenarnya adalah seperti berikut: Buah Doa “Dipanggil ‘Sambut’, Kaedah ‘A’
  • Buah Pertama
  • Buah Keputusan Gayung Petani
  • Buah Kidung Kiri
  • Buah Kidung Kanan
  • Buah Paras Kiri dan Kanan
  • Buah Ali Patah Atas
  • Buah Ali Patah Sudah
  • Buah Kilas Belakang
  • Buah Sengkak
  • Buah Hentak (keputusan Harimau)


Buah Qiam dipanggil Kaedah Kuntau. Kaedah ‘B’
  • Buah kuntau Kiri
  • Buah Kuntau Kanan
  • Buah Kuntau Jatuh
  • Buah Kuntau Kiri Gantung
  • Buah Kuntau Kanan Gantung
  • Buah Gari 1 dan 2
  • Buah Keputusan Sendeng Atas Cara Dalam
  • Buah Ali Patah Sudah cara ‘B’

Buah Ruku’ dipanggil Kaedah Kuntau Pukulan Bawah, Kaedah ‘C’
  • Buah Kilas Hadapan
  • Boleh juga Kilas Belakang dengan cara Kaedah ‘C’
  • Buah Keputusan Terlak
  • Buah Keputusan Lintau
  • Buah Tengkisan Penendang
  • Buah Tengkisan Tikaman Tat?


Buah Takbir dipanggil Kaedah Kuntau Tengkisan, Kaedah ‘D’
  • Buah Hempuk
  • Boleh juga dibuat Buah Kuntau Kiri


Kesimpulannya silat cekak mempunyai kaedah yang teratur, boleh menengkis pukulan silat dan kuntau. Sebab itu ia dinamakan seni silat cekak (silat yang bertanggungjawab) yang suci, murni, asli, dan bukan ciptaan atau rekaan baru.

Jadi nama-nama seperti “buah pasung belakang”, “pasung hadapan”, dan “Gerak Maut”, yang disebutkan oleh Saudara Radzuan dalam silat kalimahnya adalah nama-nama baharu yang direkanya. 

Sekarang kita kaji sejarah perkembangan silat cekak dan tarikh lahirnya silat kalimah. Silat cekak dilahirkan pada 28hb Disember 1965 bersamaan dengan 5 Ramadhan 1385 menerusi P.S.S.B Seri Kedah.

Ketika itu seksi silatnya dipengerusikan oleh saya sendiri. Penubuhannya dirasmikan di rumah Encik Shafie Darus batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar Kedah. Nama silat cekak, buah-buah dan penangkap-penangkapnya diberikan oleh Sdr Yahya bin Said dari Taiping


Sdr Yahya mengajar silat cekak dalam Seri Kedah di dua buah kelas sahaja. Di rumah Shafie Darus batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar dan di Alor Merah yang kemudiannya berpindah ke Telok Wan Jah di rumah Othman Ahmad, Alor Setar.

Setelah tamat kursus di kedua-dua buah kelas ini, Yahya mohon berhenti mengajar dan menyerahkan semua mandat (kuasa) dan syarat-syarat menjadi guru kepada saya untuk terus mengajar dan mengembangkan silat ini.

Pada 10 Januari 1969 Azmi dan Radzuan, dua beradik masuk belajar Silat Cekak ini dengan saya. Mereka menjadi ahli Seri Kedah di Sungai Petani, Nombor pendaftaran Azmi Long 90 dan Radzuan Long 91.

Pada 7hb. November 1969, Azmi dan Radzuan Long dipecat menjadi ahli Seri Kedah kerana dasar dan polisi mereka yang bertentangan. Tegasnya mereka menentang saya, gurunya, (bukan Sdr Yahya Said).

Pada 26hb. November 1971, mereka menubuhkan Persatuan Kalimah (bukan Silat Kalimah) didaftarkan di Pulau Pinang. Penubuhan ini dibuat apabila mereka menemui Yahya Said selepas dipecat kerana menentang saya, guru mereka berdua.

Saya telah mengembangkan silat cekak dari Kedah hingga terbentuk Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia pada 19hb. Ogos 1971 yang didaftarkan di Selangor dan bertaraf nasional. Nombor pendaftarannya ialah 973.

Demikianlah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan Persatuan Kalimah lahir berasingan dan terserah kepada semua menentukan yang mana satu benar dan asli.

Jelas kini saya telah melahirkan silat cekak yang selama 40 tahun terpendam di dada Yahya Said tanpa diketahui orang. Saya mengenengahkannya kerana kepentingan kebudayaan Melayu, menimbulkan pusaka Melayu yang asli lagi bertanggungjawab agar mutu seni ini dapat dibanggakan.

Setelah menentang guru mereka sendiri mereka masih memakai dan mengaku nilai seni itu sehingga mereka kemudian mengubah nama silat cekak itu menjadi silat kalimah. Tapi yang benar tetap benar.

Selepas dimandatkan menjadi guru silat ini saya tidak terus berpuas hati setakat itu saja. Dengan pengalaman sejak usia lapan belas tahun, dalam seni silat dan kebatinan Islam sejati saya buat kajian dan menapis segala seni silat untuk disesuaikan dengan tujuan bersilat dan sejajar pula dengan peraturan agama Islam.

Saya membuat kesimpulan bahawa seni silat cekak ialah seni silat bukan silat semata-mata. Perbezaan seni dengan bukan seni adalah sangat jauh laksana bumi dengan langit. Semua cabang seni seperti seni sastra, seni tari, seni lukis, seni suara, seni dalam kajian filsafat serta Sufi dan seni silat masing-masing mempunyai bakat yang tersendiri.

Bakat seni silat ialah keras lembut yang bermaksud tetap pendirian bukan degil. Lemah lembut pada zahirnya bererti tidak bongkak (ego) dan menerima kebenaran. Tetapi akan berkeras untuk menegakkan yang hak. Bakat asli ini jika diasuh dan dididik akan mencapai keistimewaan, tetapi yang tidak berbakat tetapi ada kemahuan hanya mencapai sekadar ‘dapat’ sahaja.

Konsep seni silat mestilah dibezakan dengan sukan. Dalam hubungan ini segala kajian silat mempertahan diri yang tidak bertaraf seni dipanggil silat yang bertaraf sukan. Seni silat dan sukan sama-sama mempunyai pergerakan antara kedua jenis ini sangat jauh bezanya.

Seni silat bergerak secara halus sejajar dengan pergerakan semula jadi (normal) dan sememangnya sesuai dipanggil seni. Manakala pergerakan silat jenis sukan bergerak bukan cara normal (pergerakan yang dibuat-buat)

Adalah silap kalau dikatakan jenis pertahanan diri yang diimport dari luar sebagai satu hasil seni kerana pergerakan mereka berdasarkan gerak kasar (bukan normal). Tegasnya jenis pertahanan diri ini tergolong dalam sukan dalam mana kekuatan menjadi ukuran. 

Pergerakan seni silat adalah halus. Ahli-ahli seni silat yang asli memahami pergerakan halus (BERDENYUT dalam istilat silat), berdasarkan pergerakan yang menurut bukan membangkang.

Pergerakan yang membangkang memerlukan tenaga yang kuat justeru ia sejenis sukan. Ahli seni silat yang sebenar boleh menewaskan musuh yang lebih kuat dan bertenaga darinya dengan kaedah yang bijaksana. Cuma silat cekak sahaja yang mempunyai sifat-sifat demikian.

Saya telah mengkaji perkataan ‘cekak’ ini dengan mendalam. Saya pasti perkataan cekak ini bertalian erat dengan tatatbahasa Melayu “makan cekak’ yang bermakna kesanggupan serta bertanggungjawab dalam menjalankan sesuatu tugas.

Dalam bahasa Bawean cekak bererti keras. Silat Cekak bererti silat keras atau lebih tepat tetap pendirian dan sanggup bertanggungjawab. Dalam bahasa Minangkabau, cekak bererti “bergaduh” iaitu dari perkataan “BERcHAKAK”.

Jadi silat cekak bererti silat yang boleh dibawa bertarung untuk mempertahankan diri. Jelas, dari segi asas perkataan, cekak sesuai dikaitkan dengan seni mempertahankan diri yang bertanggungjawab. Maka itu ia dinamakan silat cekak.

Perkataan asal “cekak” ini dikaitkan pula dengan praktikalnya, yang mengkaji pergerakan. Jadi pada lahirnya sesuai dinamakan silat cekak dan pada batinnya (hakikatnya) silat gerak. Ini sejajar pula jika dikira huruf jawi bagi kedua-dua perkataan itu: cekak (, , ) dan gerak (,, ), sepadan pula dengan perkataan itu Quran (lahir) dan Furkan (hakikatnya)

Jadi seseorang yang mempelajari silat cekak mesti sampai pada pengertiannya kepada pergerakan baharulah tahkik pada ilmu silat yang sebenarnya. Jika tidak ia hanya dapat kulit sahaja. Sesudah tahkik seseorang itu maka baharulah ia sampai kepada GERAK yakni makan segerak (makan gerak dalam gerak) dan dapat menentang musuh sama ada yang dapat dilihat atau tidak, disedari atau tidak terang atau dalam gelap. Bila peringkat ini dicapai baharulah ia sampai ke “MAKAN GERAK”.

Bukan “makan cekak” cara belajar buah 12-21 seperti yang diterangkan oleh Sdr Radzuan. Faham akan semua peringkat, baharulah seseorang itu layak menjadi penganjur, dan pemimpin silat yang sebenarnya. Jika sekadar sampai pada kulit silat sahaja tanpa “ruh” silat yang sejati ia tidak layak menerima warisan pusaka.

Jika diterima juga ia dianggap perampas kerana tidak mempunyai peribadi amanah. Bila sudah ada amanah dan peribadi keimanan yang sejati baharulah ia layak menjadi GURU.

Jika tidak maka guru itu ibarat kencing berdiri, murid kencing berlari. Pelajar dengan guru demikian bermakna seseorang itu akan menjadi bertambah jahat, bongkak dan sombong. Sebaliknya guru yang sebenar guru (murshid) mempunyai telatah dan peribadi yang tinggi, boleh memimpin ke jalan yang diredhai Allah.

Di dalam peraturan silat cekak konsep ini jelas diutarakan. Pertama perpaduan dengan guru yang sebenar-benarnya guru (murshid), bukan yang fasik dan munafik. Kedua, perpaduan dengan ibu bapa (rumah tangga) yang telah melahirkan kita. Ketiga, perpaduan sesama ahli silat, bukan untuk berpecah belah. Keempat, konsep terhadap masyarakat umum khasnya seluruh masyarakat silat Melayu yang benar-benar asli.

Saya juga telah menganalisa amalan dan buah-buah seni silat cekak itu sendiri. Mungkin anasir luar ada tersadur di dalam silat itu hingga bercanggah tujuan asal ilmu silat ini dengan akidah agama islam khususnya. Jadi saya mengekalkan amalan-amalan yang sesuai dengan asas Islam dan membuang segala yang bertentangan. Saya mempunyai alasan-alasan yang sesuai dan praktikal untuk mengenepikan pemakaian beberapa buah yang agak bertentangan dengan tujuan menuntut ilmu silat.


  • Buah Rasa dan Pecahan dari Keputusan Gayung Petani (Buah Pusing tangan) telah diketepikan kerana buah-buah tersebut adalah seperti buah silat untuk permainan (pulut) sahaja. 
  • Buah Sengkak tidak dipakai kerana membahayakan diri orang yang menggunakannya. 
  • Buah Keputusan Sending Bawah Kiri dan Kanan ditinggalkan kerana dipandang sia-sia (memakan waktu). 
  • Buah Kedung Kanan didapati sama dengan Kuntau Kanan gantung pemakannya. 

Anihnya terdapat sejenis buah dalam cekak yang dinamakan “Buah Kusyen”. Buah ini sungguh pantas dan boleh digunakan di tempat-tempat yang sempit dan dicorok-corok ruang. Ia boleh digunakan semasa duduk di atas kusyen kereta. Jika diserang dalam kereta insya-Allah penyerang itu akan tertewas. Sebab itu ia dinamakan Buah Kusyen (sebelumnya buah ini tidak bernama).

Dengan penjelasan dan bukti-bukti yang dibentangkan di atas maka sewajarnyalah seni silat pusaka bangsa ini dinamakan silat cekak kerana pada hakikatnya seni silat cekak itu silat gerak, satu silat lojik. 

Mengubah nama silat cekak itu kepada nama-nama lain seperti silat kalimah bererti penyelewengan dalam perwarisan pusaka Melayu asli. Sudah cukup jelas bahwa silat kalimah itu adalah silat cekak.

Kepada yang tidak puas hati dengan penjelasan ini, dapat kiranya berhubung dengan ibu pejabat Persatuan Seni Silat Cekak, 32 Jalan Hj. Sirat, Kampung Baharu, Kuala Lumpur untuk keterangan lanjut.

komen SERASI: Sejarah Silat Cekak yang berasaskan sumber daripada SILAT KALIMAH tidak boleh dipakai sama sekali. Pasti terdapat unsur seleweng yang akan membawa Silat Cekak ke arah yang tidak mendatangkan manafaat buat penuntut dan pengamalnya. Silat Kalimah sentiasa cuba mendapatkan "advantage" dengan mendahului tetapi terbukti pendahuluan mereka palsu dan sering tersasar daripada Realiti Sejarah Silat Cekak. Maka ahli sejarah realiti silat cekak mestilah sentiasa berwaspada dalam hal ini. Wassalam.

Monday 12 March 2012

Belasungkawa: YM Ustaz Ishak Itam kembali ke Rahmatullah.

Bukit Mertajam (Isnin):  YM Tuan Haji Ishak Itam, 79 (kalendar hijriah) Guru Utama Silat Cekak Malaysia telah kembali ke rahmatullah pada 19 Rabiul Akhir 1433 jam 4:45pm sejurus selepas azan asar hari ini.

Guru Utama Silat Cekak Malaysia
1986 - 2012

Alfatihah.

Sekian - sumber.



Belasungkawa:
Almarhum YM Tuan Haji Ishak Itam dilahirkan pada tanggal 22hb Julai 1935 bersamaan 20hb Rabiul Akhir 1354 hari Isnin, di kampung (Batu 9) dalam mukim Tanah Liat, Bukit Mertajam, Seberang Perai. Merupakan seorang anak pertama lelaki yang dilahirkan kepada Patimah dan Itam bin Saad. Haji Ishak mempunyai titisan benih jalinan ulama melalui keturunan ayah beliau, Itam bin Saad yang merupakan seorang Hafiz Al-Quran, manakala Tok Mohsin ayah kepada Saad adalah berketurunan Banjar yang berasal dari Indonesia dan telah dilahirkan dalam keluarga para ulama terbilang. Ibu beliau pula berketurunan Melayu dari Setui melalui talian darah dengan Tok Jusof iaitu bapa kepada Tok Sopiah yang telah melahirkan Patimah, ibu kepada Haji Ishak bin Itam. Bapa kepada ibu beliau pula iaitu Mat Udin ialah anak seorang panglima istana kerajaan negeri Perlis yang digelar Panglima Taha.

Almarhum sejak dari kecil lagi telah meminati seni silat Melayu, iaitu bermula dari umur 9 tahun sehingga ke umur 18 tahun beliau telah mempelajari Silat Gayung Fatani melalui bapa saudaranya En. Bakar dan En. Shafie b. Din. Seterusnya beliau mempelajari Silat Kuntau Jawa dari En. Hassan Jawa selama 2 tahun dan kemudiannya telah mempelajari Silat Sendeng dan Silat Minangkabau.  Kemudian beliau mempelajari pula Tomoi Siam dari En. Osman b. Ahmad (Man Balak) sehingga beliau menjadi Guru Tomoi selama 2 tahun. 



Selain daripada ilmu persilatan, beliau telah mempelajari ilmu kebatinan melalui Ustaz Azizan (Izan). Di samping itu, beliau telah mempelajari cara-cara membuat ubat tradisional merawat penyakit kencing manis. Tuan Haji Ishak b. Itam juga pernah mendapat pendidikan agama secara formal di Pondok Tuan Haji Mat Salleh Mesir, Tanah Liat yang pada masa ini menempatkan Maktab Adabi. Kemudian belajar pula di Pondok Pokok Sena (tafsir) dengan Tuan Guru Haji Ahmad b. Tuan Haji Hussein. 



Almarhum mula mempelajari Silat Cekak pada tahun 1969, apabila YM Ustaz Haji Hanafi b. Haji Ahmad telah dapat membuka kelas di Bukit Mertajam bertempat di Kubang Semang iaitu terletak lebih kurang 2 batu dari Cawangan PSSCM Seberang Perai pada masa sekarang ini. YM Tuan Hj Ishak bin Itam telah berjaya belajar silat ini selama 30 hari latihan sahaja. 

Setiap kali latihan, beliau sering dipukul oleh YM Ustaz Haji Hanafi dengan pokok teh pagar yang bertujuan hendak mengajar beliau supaya bersabar dan menerima ilmu silat ini dengan ikhlas hati dari tangan gurunya sendiri disamping menerima berbagai ujian dari gurunya. 

YM Ustaz Hanafi b. Haji Ahmad kemudiannya telah melantik beliau menjadi jurulatih. 

Sepanjang penglibatan beliau sebagai jurulatih, banyak tempat dan Cawangan serta Kelas Latihan telah disertainya termasuklah di TUDM Butterworth (1977), Kepala Batas (1978), Cheruk Tok Kun (1975) dan di Kulim (1982). Beliau seringkali berulang alik mengajar silat ini di S. Perai dan P. Pinang. 

Apabila YM Ustaz Haji Hanafi kembali ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986, YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah diisytiharkan sebagai YM Guru Utama pada 21 September 1986. Kelas pertama diijazahkan oleh beliau sebagai Guru Utama adalah di UPM pada 13 Oktober 1986 seramai 27 orang. 

Almarhum YM Tuan Haji Ishak b. Itam adalah seorang seorang pemimpin berjiwa resmi padi, "low profile", seorang pendidik yang penyabar, tenang dalam segala hal, tabah menghadapi segala dugaan, sehinggalah beliau kembali kerahmatulah pada 12 March 2012 bersamaan 19hb Rabiul Akhir 1433 Hijrah, selepas Asar, hari Isnin pada usia 79 tahun.

Sesungguhnya tiada ganti serupa lagi setelah pemergiannya.

Al Fatihah buat Almarhum YM Tuan Haji Ishak Itam.





Sunday 4 March 2012

Syabas SilatMelayu.Com!

Asal Kuntau Tekpi, Cekak & Kalimah
Posted by Cikgu Fazli on January 20, 2009 at 11:25pm in (P.S.S.K.T.M) ڤرتوبوهن سني سيلة کونتاو تيکڤي مليسيا
Back to (P.S.S.K.T.M) ڤرتوبوهن سني سيلة کونتاو تيکڤي مليسيا Discussions

Silat Cekak
Silat ini berasal dari Negeri Kedah, Malaysia, dan dikatakan pernah diamalkan oleh panglima-panglima kanan kerajaan Negeri Kedah di zaman dahulu. Di antaranya ialah semasa era pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II.

Silat ini telah diwariskan oleh salah seorang panglima kanan kerajaan Kedah yang bernama Panglima Ismail kepada Panglima Tok Rashid dan kemudiannya kepada Yahya Said (sebagai pemegang amanah) yang berasal dari Batu Kurau, Taiping, Perak,:

40 tahun kemudian, pada 5 Ramadhan 1385 Hijrah, bersamaan 28 Disember 1965, Yahya Said telah memperturunkan ilmu Silat Cekak kepada Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad.

Silat Cekak pada ketika itu telah dilahirkan kembali dan beroperasi melalui Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah.

Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah didaftarkan secara rasmi pada 19 Ogos 1971 dengan Ustaz Hanafi sebagai Presiden dan Guru Utama PSSCM. Beliau telah meninggal dunia pada 13 Ogos 1986 setelah menerajui PSSCM dan mengembangkan silat ini ke seluruh negara selama 21 tahun.

Jawatan ini diganti oleh Haji Ishak bin Itam sebagai Presiden dan Guru Utama PSSCM pada 21 September 1986 hingga ke hari ini.

Silat Kalimah
Cerita ini disampaikan dari mulut ke mulut dan turut merujuk kepada rekod sahih peninggalan para guru yang bertanggungjawab mengembangkan ajaran Silat Kalimah.

Kisah ini bermula apabila ilmu seni Silat Kalimah ini diperturunkan oleh Syeikh Abdullah kepada Sultan Kedah yang dikenali dengan nama Sultan Muzaffar Shah. Ia telah dirahsiakan oleh Istana Kerajaan Kedah sehinggalah tiba kepada Sultan Ahmad Tajuddin yang telah bertanggungjawab menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada panglima kanan beliau, iaitu Panglima Tok Ismail.

Panglima Tok Ismail pula menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah kepada Panglima Tok Ali dan Panglima Tok Hadi.

Panglima Tok Ismail akhirnya menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Rashid.

Dan Panglima Tok Rashid merupakan panglima yang terakhir menerima ilmu Silat Kalimah sebelum beliau menurunkan ilmu ini kepada orang awam yang pertama, iaitu anak angkatnya yang bernama Tok Guru Yahya Said.

Silat Kuntau Tekpi
Seni Silat Kuntau Tekpi ialah sejenis ilmu mempertahankan diri yang telah lama wujud di zaman Sultan Ahmad Tajuddin Shah, Sultan negeri Kedah pada kurun ke-18. Ia dipelopori oleh seorang Panglima Istana bernama Panglima Taib Bin Wan Hussin. Silat ini diajar hanya di kalangan panglima dan pengawal istana serta hulubalang bagi menentang serangan Thai dan musuh lain ketika itu.

Panglima Taib telah mewariskan ilmu ini kepada anak kandungnya bernama Siti Aminah yang dikenali dengan gelaran ‘Srikandi Kedah’. Silat ini kemudiannya diwarisi oleh anak Siti Aminah bernama Tuan Haji Zainol Abidin bin Endut dan seterusnya diwarisi pula oleh anak Zainol Abidin iaitu A. Sani.

Senjata utama silat ini dikenali sebagai tekpi iaitu besi bercabang tiga yang juga telah dikenali sebagai "Raja Segala Senjata" yang telah terbukti boleh mematikan segala senjata tajam.

Silat ini mempunyai kaedah buah-buah pukulan serta tangkapan yang kemas. Semua pergerakan dan tangkisan adalah sesuai dengan pergerakan fitrah diri manusia, tidak mengira peringkat umur, mahupun lelaki ataupun perempuan.

Silat ini menitikberatkan aspek mempertahankan diri sekiranya diserang tetapi akan menyerang sekiranya terdesak.

(sumber wikipedia)


Apapun cerita, ianya tetap datang dari istana Kedah ketika Sultan Ahmad Tajuddin Shah,
Diharap dapat diulas lanjut kenapa Panglima Taib memilih tekpi dan Panglima Ismail memilih parang lading.

ulasan Jurulatih kanan PSSKTM (yang bergiat aktif):

Reply by Amirul Husni on January 21, 2009 at 11:40am
assalamua'laikum

Terima kasih kepada Cikgu Fazli dari SPGP kerana mengemukakan persoalan ini.


Malangnya, ulasan lanjut yg diminta tak dapat diberikan sepenuhnya disebabkan amanah yg dipegang oleh saya dan jurulatih2 lain dalam PSSKTM. Sekiranya sesiapa mahu ulasan sejarah dari perspektif Silat Kuntau Tekpi, dia wajib berjumpa dengan Pak Guru Sani sendiri. Itupun sekiranya Pak Guru berkenan hendak memberikan maklumat. Jika seseorang itu ikhlas didalam persoalannya, inshaAllah, kemungkinan besar Pak Guru Sani akan membuka cerita.


Walaubagaimanapun, sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai moderator disini, selain dari Cikgu Azhar dan Cikgu Nor Azlan, apa yg boleh diperkatakan ialah Allahyarham Panglima Taib merupakan PENGASAS perguruan Silat Kuntau Tekpi. Maka dari itu, sedia maklum bahawa segala rupabentuk pelajaran yg terdapat didalam SKT sekarang hasil usaha Allahyarham Panglima Taib, serta diolah oleh keturunannya hingga sekarang mengikut keadaan zaman.


Seperkara lagi yg boleh dihuraikan ialah pemilihan senjata itu sendiri. Diantara tanggungjawab Allahyarham Panglima Taib ketika menjadi panglima di Kedah ialah mengawal penghantaran ufti ke kerajaan Islam Siam yg berpusat di Ayuthia. Dizaman yg tiada kereta dan kapal terbang, beliau telah menghadapi liku-liku yg mencabar dan membahayakan nyawa sepanjang perjalanan ke Ayuthia. Maka menurut keturunannya, Allahyarham Panglima Taib telah memilih senjata Tekpi sebagai senjata pilihan bagi melaksanakan tanggungjawab yg berat itu. Apa yg boleh dispekulasikan ialah kemungkinan sejak itulah Allahyarham telah menjadikan Tekpi sebagai senjata resmi bagi perguruannya. Mengenai siapakah gurunya, Pak Guru Sani sendiri tiada maklumat berkenaannya.


Oleh itu, PSSKTM tidak akan pergi jauh daripada Allahyarham Panglima Taib bila memperkatakan tentang salasilah perguruan ini. Sesungguhnya hanya Allah SWT yg mengetahui segalanya.


wallahua'lam...


Ulasan Team SERASI atas fakta sejarah yang berkaitan:
Menurut sumber sejarah, selain menjadi pewaris Gayung Fatani daripada Panglima Taha (Panglima Kerajaan Perlis), salah satu senjata kegemaran YM Tuan Haji Ishak Itam Guru Utama Silat Cekak sebelum menjadi Guru Silat Cekak adalah Tekpi! Beliau adalah seorang Pakar Tekpi.


Syabas SilatMelayu.Com kerana masih mengekalkan dan menghormati adab perguruan yang sebenar.