Matanya yang tajam sekadar dua jarak mata si pemakai. Maka tiap-tiap yang terlihat dan terdengar maka sampailah ia. Sembunyi tempatnya seolah pemalu sifatnya.

Saturday 24 September 2011

Manusia Toksid oleh Lading Emas

Dalam mana-mana persatuan atau organisasi, kita selalu mendengar istilah pengampu, kaki bodek, kaki cucuk dan pelbagai istilah lagi. Malah, dalam persatuan kita pun istilah-istilah berkenaan tidak terkecuali daripada sebutan para ahli. Cuma, ditambah lagi dengan satu istilah yang berkaitan dengan guru iaitu taksub. Namun begitu, sama ada ketepatan istilah-istilah itu pada orang yang ’dituju’, banyak bergantung pada tafsiran, pemikiran, atau tanggapan positif atau negatif orang yang memberi gelaran.

          Biasanya, istilah atau kata-kata tersebut adalah terpancar dari mulut manusia yang saya gelar sebagai manusia toksid. Kerap kali saya lihat, orang yang memberi gelaran pada orang lain adalah merupakan orang yang bersifat toksid. Umumnya punca hal yang demikian kerana diri sendiri telah terketepi. Maka mulalah mereka memberi gelaran pada orang lain sebagai usaha menyakitkan hati orang berkenaan. Di sinilah peranan kepemimpinan tertinggi amat penting bagi mengawal keadaan. Jika mereka sendiri bersengkongkol dengan situasi yang wujud itu, maka keadaan akan menjadi semakin parah. Hal yang demikian akan mengundang pepecahan dalam kalangan ahli.

             Saya mempunyai pengalaman berhadapan dengan kumpulan-kumpulan toksid  semasa aktif dalam persatuan. Akibatnya saya pernah tersingkir pada peringkat pemulaan. Begitu juga saya berpengalaman melihat rakan-rakan yang tersingkir dari persatuan kerana peranan manusia-manusia toksid berkenaan. Nampaknya, konsep dengki atau iri hati dan khianat adalah merupakan satu penyebab besar yang menyebabkan hal yang demikian berlaku.

             Hal yang berkaitan dengan guru silat, istilah taksub amat popular digunakan. Cuma, kita pun berasa celaru sama ada istilah taksub itu sesuai digunakan pada seseorang itu. Ada yang mengatakan orang itu taksub, tapi pada pemerhatian saya tidak sedemikian. Nampaknya, tafsiran taksub digunakan dengan sewenang-wenangnya dalam persatuan kita. Semuanya berdasarkan tafsiran. Tafsiran itu ada kaitan dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki seseorang. Saya tidak akan menyentuh perkara tersebut lagi. Banyak tulisan saya yang terdahulu telah membincangkan hal yang demikian.

             Sifat toksid itu adalah satu penyakit. Penyakit itu ada kaitan dengan perasaan kita. Semuanya kerana pemikiran negatif telah mengatasi pemikiran positif. Hal yang demikian menjadikan daya fikir kita mengecil kerana asyik memikirkan hal-hal yang buruk sahaja. Kebolehannya ’mengenakan’ orang yang tidak disukainya adalah merupakan satu kepuasan. Selagi diri tidak puas, maka perbuatan yang bersifat dengki khianat akan terus dilakukan. Itulah sifat tekal dan kesungguhan yang wujud dek kerana wujudnya penyakit tersebut dalam diri.

         Perbuatan toksid itu dilakukan secara dua bentuk. Kalau dia pandai menulis, maka prinsip surat layang amat popular digunakan. Salinan surat adalah merata-rata. Namun begitu, pengenalan diri tetap disembunyikan. Inilah golongan manusia yang ’bertopeng di muka’. Mereka yang tidak pandai menulis, susunan kata-kata indah yang menyakinkan kerap kali digunakan, atau mereka akan mengadakan perbuatan yang berupa perangkap. Misi utamanya ialah orang yang didengki akan ’jahanam’ dan tidak menimbulkan saingan lagi pada dirinya lagi. Dalam hal ini, hanya manusia hebat sahaja yang boleh mengesan pelakuan mereka itu.

             Apa yang saya perhatikan, manusia toksid itu hidup dalam penderitaan. Walaupun kita nampak riak mereka seperti biasa, sebenarnya wajah muka mereka menampakkan sifat derita. Mukanya sentiasa masam. Ketawa yang dikeluarkan hanya menampakkan sifat kepuraan. Kata-kata yang dikeluarkan menampakkan sifat sombong dan megah diri.

                Kesimpulannya pada saya, manusia toksid itu wujud ekoran beberapa sifat yang dimilikinya. Sifat-sifat itu dibangun subur dari masa ke masa dalam hatinya. Apabila telah sebati maka sifat itu menjadi nilai yang sebati. Maka itulah nilai dan sifatnya. Sekali tak mengata atau mengandu domba, maka bukanlah dirinya. Mungkin kita perlu tahu punca-punca yang menjadikan diri seseorang itu bersifat toksid.

               Pada saya, faktor utamanya adalah kerana wujud perasaan menyampah dalam dirinya. Dalam bahasa pertuturan biasa, istilah menyampah membawa maksud getik atau meluat.  Perasaan itu timbul pastinya kerana menusia itu berlainan prinsip atau pegangan dalam dunia kehidupan sehariannya. Dalam istilah yang lebih ilmiah, menyampah membawa makna iri hati. Orang yang menyampah akan  memiliki perasaan demikian ketika bersama dengan orang berkenaan dalam satu-satu program yang berlangsung. Kalau tak bersua muka, mungkin perasaan tersebut tidak akan timbul. Nampaknya kemunculan manusia toksid ini adalah bermusim.

               Manusia toksid juga boleh timbul akibat perasaan benci atau perasaan sakit hati yang timbul berpanjangan. Hati kalau sudah sakit maka ingatannya yang bersifat benci adalah berpanjangan. Perasaan tersebut akan berkekalan selagi hatinya tidak berasa puas untuk membuat tindakan. Ubat kepada sakit hati ialah tindakan menyakitkan hati orang berkenaan.

               Perasaan benci atau sakit hati juga, erat kaitannya dengan perasaan dengki. Sifat dengki biasanya timbul kerana apa yang orang lain ada, tidak ada pada dirinya. Satu contoh yang paling mudah dalam pentas persilatan ialah dari segi hubungan antara guru dengan muridnya atau orang kanannya. Oleh sebab seseorang itu kurang dihubungi berbanding dengan orang lain, maka orang yang kerap dihubungi oleh guru akan dijadikan bahan cemuhan kerana kewujudan perasaan dengki. Perasaan dengki itu hanya boleh dikurangi atau diubati dengan satu tindakan yang kita tafsirkan sebagai perbuatan khianat.

               Selain daripada itu, manusia toksid juga boleh timbul akibat perasangka buruk dalam kalangan diri seseorang itu. Perasaan benci atau menyampah atau dengki yang timbul itu adalah akibat kekurangan maklumat yang sebenar. Hati manusia toksid jenis ini lebih rela membina prasangka buruk dari masa ke masa tanpa mendapatkan penjelasan sepenuhnya. Biasanya, setelah diberi penerangan atau penjelasan maka manusia toksid ini akan berubah pandangan dan dapat mengikis sifat prasangka buruk yang berkenaan. Tapi tetap tak kekal lama sebab nilai toksid telah tertanam begitu lama dalam dirinya.

               Orang-orang yang bersifat negatif sering menghasilkan sifat toksid. Hidup mereka tidak tenteram. Masa lega atau masa rehat atau masa tidurnya sering terganggu kerana perasaan buruknya pada orang lain, agak menebal. Mereka selalu mengalami mimpi-mimpi ngeri yang menakutkan. Tidur mereka tidak cukup dan hal yang demikian menjadikan diri mereka terus dirundung malang dari masa ke masa. Maka akan lahirlah manusia yang tidak stabil dalam kehidupannya. Selalunya, mereka bersifat murung.

               Oleh itu, setelah kita tahu akan sifat dan punca kelahiran menusia toksid, maka berhati-hatilah. Jauhi diri daripada menjadi golongan penyebar fitnah yang amat dikutuk Tuhan. Sesungguhnya, salah satu sebab pepecahan kita tempoh tahun yang lalu adalah kerana wujudnya manusia toksid dalam persatuan kita.

Pepatah kita ada mengatakan bahawa musuh jangan dicari, rezeki jangan ditolak. Walaupun kita sentiasa menghindari musuh, namun, musuh tetap akan ada sama ada kita menyukainya atau tidak. Yakinkan diri kita bahawa orang-orang yang cemerlang mesti akan ada musuhnya. Orang-orang yang cemerlang pasti tidak disukai oleh semua pihak. Sekurang-kurangnya pesaingnya sendiri akan menjadi musuh. Dalam hal ini, orang-orang yang cemerlang perlu akui akan hakikat bahawa diri mereka yang cemerlang tetap akan menghadapi musuh yang pasti muncul pada bila-bila masa.

             Begitu juga dengan mereka yang berada di puncak kejayaan. Pasti juga mereka akan menghadapi musuh-musuh yang tidak diundang. Tindakan dan riaksi musuh-musuh tersebut adalah dalam  pelbagai bentuk. Tapi perkara pastinya ialah mereka akan menjadi manusia toksid yang akan mengancam diri kita dan perkembangan persatuan atau organisasi yang kita pimpin.

             Walau bagaimanapun, kita perlu akui betapa mereka yang berbuat ”baik” pun tetap akan ada musuh. Kebaikannya akan disalah anggap dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan. Semuanya berpunca dari sifat tidak senang hati. Lebih-lebih lagi musuh itu sememangnya mengidap penyakit sentiasa sakit hati. Itulah sifat manusia yang negatif dan mempunyai akal sempit atau akal kecil.

             Berdasarkan perbincangan di atas, saya dapat simpulkan bahawa mereka yang mempunyai musuh adalah terdiri daripada orang-orang yang bersifat cemerlang. Orang-orang cemerlang ini adalah dari pelbagai golongan sama ada orang yang baik, hebat dan pastinya sedang berada di puncak kecemerlangan. Maknanya juga kalau kita ingin tahu sama ada kita orang yang cemerlang dan berada di puncak, maka kita perlu ada musuh. Musuh melambangkan kenyataan kehebatan kita.

             Oleh sebab kehadiran musuh adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan oleh golongan cemerlang, maka kita perlu mengubah mindset kita tentang kewujudan manusia toksid yang selalu bertindak sebagai musuh kita. Oleh itu kehadiran mereka, jadikan peluang. Jangan marahkan kehadiran mereka yang membawa tekanan pada kita. Anggapkan bahawa kehadiran atau kewujudan mereka membawa banyak faedahnya pada diri kita. Berfikirlah secara pisitif walaupun hati kita akan berasa sakit. Jadikan ancaman sebagai peluang untuk perkembangan hebat diri kita.

             Dalam hal ini, oleh sebab musuh adalah sesuatu yang tidak boleh kita hindari maka jadikan kehadiran mereka sebagai satu asset pada diri kita sendiri. Secara tidak langsung, dengan adanya manusia toksid itu, jadikan mereka sebagai alat untuk memotivasikan diri kita secara dalaman. Kita sedar bahawa kehadiran mereka tidak boleh dihindari tapi boleh disekat atau dikecilkan bilangannya. Hal yang demikian akan menjadikan kita sentiasa berada dalam suasana berhati-hati sama ada dalam tindakan atau dalam percakapan.

               Tindakan berhati-hati akan menjadikan diri kita hebat.  Dalam keadaan kita memiliki musuh dan musuh-musuh itu terus menerus menyebarkan fitnah atau dakyahnya, kita akan sentiasa berhati-hati dalam meneruskan usaha atau kerja-kerja yang diamanahkan pada kita. Orang yang boleh terus bekerja, berfikir dan bertindak dalam keadaan sentiasa dikelilingi  masuh,  akan menjadikan dirinya sememangnya hebat.

               Kehadiran musuh-musuh itu juga akan menyebabkan kita sentiasa sedar diri kita sebelum mengambil satu-satu tindakan. Apa saja yang kita lakukan, perlu dilakukan secara teliti dan melalui pemikiran dan tindakan yang strategik. Kita juga akan sedar bahawa apa saja yang kita lakukan akan ada pemerhati dan tukang komennya. Secara langsung kita juga akan sedar diri bahawa diri kita tidak sempurna. Hanya Allah yang sempurna. Hal yang demikian akan menjadikan diri kita sentiasa berserah pada Tuhan bagi mempastikan keselamatan dan kesejahteraan diri kita.

            Kita perlu memahami akan sifat-sifat golongan toksid ini. Kita berharap agar sifat-sifat mereka tidak diwarisi oleh ahli-ahli kita. Cuba kita lihat sifat-sifat manusia toksid dalam perbincangan tajuk ini. Sifat-sifat yang wujud itu akan berkesudahan dengan perasaan dengki dan khianat. Akhirnya golongan inilah yang bergelar sebagai golongan manusia toksid. Perbincangan tentang gejala manusia toksid akan membolehkan kita memperoleh pengetahuan agar diri kita terhindar dari menjadi manusia toksid yang sentiasa memporakperandakan persatuan atau organisasi yang terlibat.

            Manusia toksid ini diasaskan oleh golongan manusia yang kurang berusaha. Mereka suka ’berkira’ apabila diberikan satu-satu tanggungjawab. Pada fikiran mereka, tidak ada orang lain yang boleh melakukan kerja-kerja tersebut. Pada anggapan mereka juga, jika tenaga mereka diperlukan maka orang itu perlu merayu dan merintih padanya. Namun begitu, apabila ada orang lain yang sanggup menjalankan tugas yang ditolak mereka maka mulalah diri mereka  memburukkan orang lain itu bagi mendapatkan kepercayaan semula.  Baru mereka sedar bahawa ada orang lain yang boleh menjalankan tugas. Bukan setakat diri mereka sahaja. Hal yang demikian tentunya tidak menyenangkan diri mereka.  Maka akhirnya mereka akan menjadi manusia toksid dengan menyebarkan fitnah bagi membuktikan diri mereka sahaja yang hebat.

           Manusia toksid itu juga terbentuk hasil daripada golongan manusia yang penakut. Mereka tidak berani menghadapi cabaran dan tidak berani mengambil risiko dalam tugasan yang diamanahkan. Namun begitu, kelemahan itu cuba disembunyikan. Cara mudah yang diambil mereka ialah memperkecilkan orang lain agar sama dengan sifat penakut yang mereka ada. Hal yang demikian hanya boleh dilakukan dengan cara menyebarkan fitnah dan mengadu domba antara satu sama lain.  Maka jadilah orang itu sebagai manusia toksid yang sangat hebat fitnahnya.

              Manusia toksid ini rata-ratanya tidak mempunyai apa-apa kemahiran yang tertentu. Hal yang demikian akan menjadikan  mereka berasa rendah diri dan sentiasa rendah diri kerana berada dalam keadaan serba kekurangan. Sebagai cara mengatasinya, jalan mudah yang boleh diambil ialah membuktikan betapa orang lain pula tidak ada kemahiran pada satu-satu tahap yang tertentu. Untuk membuat pembuktian berkenaan, tohmahan adalah satu langkah yang mereka jadikan pilihan.

            Manusia toksid ini juga pada kebiasaannya pernah mengalami kekecewaan. Perasaan kecewa  yang dialami mereka menyebabkan mereka tidak mahu lagi menghadapi sebarang cabaran. Konsep ’belajar melalui kesilapan’ tidak dapat diamalkan mereka lagi. Mereka serik dengan kesilapan yang dialami hingga menyebabkan mereka tidak mahu menanggung risiko dalam pekerjaan yang boleh menyebabkan kekecewaan. Apabila ada orang lain yang tidak berwatak seperti mereka, tentunya akan menyebabkan mereka berasa iri hati dan tidak menyenangkan.

             Selain daripada itu, manusia toksid terbentuk kerana kegagalan mereka memperoleh penghormatan dari orang lain. Orang lain tidak memberi penghormatan kepada mereka disebabkan pelbagai alasan. Hal yang demikian termasuklah perwatakan yang ada pada diri mereka yang tidak menyenangkan. Apabila orang lain memperoleh penghormatan, hatinya akan berasa cemburu dan timbul bibit-bibit rasa benci. Akhirnya akan mendorong diri mereka  memperkecilkan kebolehan orang lain agar orang yang berkenaan pun tidak akan dapat penghormatan seperti mana kegagalan mereka  mendapatkan penghormatan dari orang lain. Maka jadilah dia seorang manusia toksid.

             Kurang kesedaran diri juga akan menyebabkan seseorang itu terjerumus menjadi manusia toksid. Orang yang tidak sedar diri, biasanya lupa akan dirinya. Dia tidak tahu di mana kedudukannya berada. Hinggakan ada yang berada dalam lapisan pengurusan bawahan yang berlagak umpama berada di lapisan pertengahan. Kita masih ingat betapa teruknya seseorang yang  bodoh sombong. Lebih-lebih lagi jika orang berkenaan merupakan golongan pelaksana yang bertanggungjawab menjalankan arahan yang diberi.

             Kurang kesedaran diri akan menjadi lebih parah jika bercampur dengan sifat yang melambangkan kurangnya didikan agama. Mereka tidak terdidik betapa umpat-mengumpat adalah merupakan perbuatan yang dilarang agama. Lebih-lebih lagi perbuatan mereka yang suka membuka aib seseorang. Kalau mereka mempunyai agama, pastinya perbuatan-perbuatan tersebut dapat dihindari.  Mereka berasa puas apabila dapat menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap seseorang itu. Terpaksalah mereka menyusun kata-kata palsu yang indah bagi mendapatkan kepercayaan orang lain atas penceritaan atau pembuktian mereka sendiri. Merekalah sejahat-jahat manusia yang asli toksidnya.

               Oleh sebab manusia toksid akan sentiasa berligar-ligar di sekeliling kita, maka dalam hal ini, perbaikilah diri kita agar kita dapat membina perisai yang boleh menahan sifat-sfat manusia toksid itu daripada menghampiri atau meresapi diri kita sendiri. Hal yang demikian akan menjadikan kita bekerja atau menjalankan tugas secara berfokas dan dalam keadaan seronok dan selesa. Kita  tentunya tidak ada masa untuk memberi komen yang tidak tentu kebenarannya. Kebolehan menjauhi diri daripada menjadi alat manusia toksid yang lain, akan membolehkan kita menjadi manusia hebat dalam apa saja jawatan yang diamanahkan pada kita.

                Diri kitalah sendiri yang boleh membuat perisai diri  agar kita tidak akan menjadi manusia toksid.  Oleh itu, kita perlu mempastikan diri agar sentiasa bermotivasi. Orang yang sentiasa bermotivasi akan menjadikan dirinya berfikiran positif. Jangan wujudkan sebarang ruang yang membolehkan mereka mempengaruhi diri kita. Hal yang demikian akan menghalang dirinya daripada menjadi manusia toksid.

Untuk memupuk sifat motivasi diri, terlebih dahulu kita perlu benar-benar memahami tentang matlamat persatuan atau matlamat organisasi kita. Matlamat tersebut akan mengarah cara kita bertindak atau melakukan sebarang pekerjaan. Matlamat yang jelas akan mendorong kita melakukan sesuatu perbuatan itu demi untuk kebaikan persatuan atau organisasi kita. Tidak wujud sebarang kepentingan diri yang boleh menghalang minat dan keikhlasan kita untuk terus berbakti  pada persatuan kita.

         Kita tidak dapat menahan mulut kita daripada terus bercakap. Cuma, perkara yang penting ialah bercakaplah tentang hal-hal yang positif. Saya teringat kata-kata Tun Dr Mahathir yang pernah menulis, ”Rakyat Malaysia menghabiskan banyak masa untuk berdebat mengenai sesuatu idea baru supaya idea itu tidak perlu dilaksanakan.” Di sinilah dapat kita lihat betapa kepimpinan secara mutlak amat perlu diamalkan bagi mempastikan kita banyak bekerja daripada banyak bercakap. Ustaz telah membuktikan kenyataan ini.

            Kalau diikutkan perasaan, banyak perkara negatif yang boleh dicari-cari. Malah,  seronok untuk dibualkan. Pada hal, perkembangan yang tidak sihat itu tidak memberi sebarang makna bagi perkembangan dan pembangunan diri kita. Malah, perbualan yang bersifat negatif akan lebih banyak menyakitkan hati orang lain. Hal yang demikian akan mewujudkan suasana yang tidak selesa di tempat kita bekerja.

           Oleh itu, bagi mempastikan diri kita tidak mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif maka eloklah kita sentiasa bercakap hal-hal yang positif. Jika kita bertemu dengan mereka yang  bercakap dengan perkataan-perkataan negatif, kita akan ’melawannya’ dengan percakapan menggunakan istilah-istilah yang positif.

            Manusia toksid selalunya lahir dari mereka yang iri hati dan mempunyai perasan benci yang amat menebal. Oleh itu, bagi mengelak diri kita bersifat demikian, lebih baik kita meletakkan diri kita sebagai orang yang penting dan sangat diperlukan tenaganya demi kebaikan persatuan atau organisasi. Dalam hal ini, kita perlu melibatkan diri kita dalam sebarang bentuk aktiviti atau tanggungjawab tanpa menunggu arahan. Kesediaan menjalankan sebarang tugas akan menjadikan diri kita terhindar daripada perasaan benci atau iri hati pada orang lain.

               Kita perlu akui bahawa sebagai manusia biasa, kita sering kali merungut dan bersungut dalam satu-satu perkara. Pada orang yang positif, sungutan itu tidak menghalangnya daripada meneruskan sebarang tanggungjawab yang diletakkan di bahunya. Sungutan yang timbul lebih berbentuk mengurangkan stress dan tidak akan kekal pada dirinya. Sebaliknya, ancaman sungutan dan rungutan itu lebih banyak pada orang-orang yang bersifat negatif. Merekalah yang perlu diberi perhatian dan diberi motivasi dari masa ke masa.

              Oleh itu, kita perlu memotivasikan orang itu. Secara langsung langkah kita tersebut akan dapat memotivasikan diri kita sendiri. Apabila seseorang itu bersungut atau merungut di hadapan kita, jangan sesekali mengiakan pendapatnya itu. Sebaliknya, bawa perhatiannya kembali  pada matlamat dan visi persatuan atau organisasi. Beri logik kenapa kita perlu berkorban masa dan tenaga untuk memajukan persatuan.

                 Dalam keadaan kita bersemangat untuk memotivasikan dirinya, secara langsung diri kita juga akan memperbaharui tekad untuk lebih bersemangat bagi membangunkan persatuan atau organisasi yang kita berada. Jika semangat ini sentiasa ada pada kita, saya yakin unsur-unsur toksid tidak akan dapat meresap dalam jiwa kita.

                  Kita juga perlu sentiasa mengakui atas segala kesilapan yang kita lakukan. Jangan bersifat mempertahankan diri. Sifat mempertahankan diri tidak digemari orang lain. Orang yang tidak mengakui kesilapan yang dilakukannya sangat banyak mencipta alasan. Semua alasan tersebut hanya bagi melepaskan diri. Pastinya dalam masa itu mereka akan menyalahkan orang lain. Itulah salah satu punca yang boleh menyebabkan timbulnya gejala toksid dalam diri kita sendiri.

                Kalau kita berjaya menghalang diri kita daripada menjadi manusia toksid, maka langkah  kita seterusnya ialah mempastikan keupayaan kita untuk menghadapi manusia toksid itu pula. Dalam tulisan berikutnya saya sarankan beberapa langkah yang boleh kita ambil ketika menghadapi atau berhadapan dengan manusia toksid yang berada dalam persatuan atau organisasi kita sendiri.

                Langkah kita yang utama ialah jaga gerak laku kita semasa berhadapan dengan manusia toksid. Jangan cepat melatah. Kuasai diri kita agar jangan cepat menunjukkan riaksi pada perbuatan atau percakapan mereka. Kita perlu sentiasa beringat agar jangan sesekali bertengkar dengan golongan manusia toksid. Malah, jangan ada sebarang riaksi dari kita yang boleh ditafsirnya sebagai menerima atau menolak percakapan atau pendapat yang mereka keluarkan. Mereka sentiasa menunggu riaksi kita. Sedikit riaksi yang kita berikan maka mereka akan mentafsirnya mengikut tafsiran yang mereka kehendaki. Kalau kita berjaya mengawal gerak laku kita, maka akan menghindari diri kita daripada dijadikan alasan atau dijadikan alat untuk menguatkan hujah mereka pada orang lain.

               Oleh itu, semasa berhadapan dengan mereka, tunjukkan memek muka yang tenang. Jangan sesekali menunjukkan memek muka seolah-olah terkejut, marah atau bersifat terburu-buru. Mereka tersangat suka jika kita memberi sebarang bentuk riaksi. Lain yang kita maksudkan maka lain pula yang akan dikatakan mereka.

              Selain daripada menjaga gerak laku kita, pemikiran kita juga perlu dikawal. Mungkin kita boleh menerima pandangan mereka tapi tidak secara bulat-bulat. Kita boleh terima dengan memberi beberapa cadangan lain yang lebih membina. Dalam masa itu, jangan sesekali kita membuat keputusan. Keputusan perlu ditangguhkan pada lain masa. Biarlah mereka ternanti-nanti akan keputusan kita.

              Perlu diingat juga, ketika mereka membuat komen pada orang lain, pastikan diri kita tidak menyebelahi mana-mana pihak. Jangan buat sebarang komen yang boleh ditafsirkan kita menyebelahi pihak-pihak yang tertentu. Mereka pasti akan pergunakan komen kita itu.

              Akhirnya, kuasailah jiwa kita sendiri ketika berhadapan dengan manusia toksid itu. Kita perlu banyak bersabar ketika berhadapan dengan mereka. Kalau diikutkan hati pastinya kita akan membalas kata-kata mereka dengan kata-kata yang boleh menyakitkan hati mereka pula. Tentunya hal yang demikian akan mengeruhkan suasana. Sebaik-sebaiknya, jika berkemampuan, berilah nasihat pada mereka supaya mengubah pelakuan busuk yang menghinggapi diri mereka.

             Kalau kita gagal memberi nasihat atau tidak berupaya berhadapan dengan mereka, langkah yang terbaik boleh dilakukan ialah dengan cara meninggalkan tempat tersebut. Jangan duduk lama berhadapan dengan mereka. Lebih baik ’belah’ daripada mendengar syarahan mereka.

              Oleh itu, untuk mengatasi dan menyaingi manusia toksid maka bangunkan diri kita dengan ilmu pengetahuan. Pastinya penguasaan ilmu persilatan akan menjadikan diri kita lebih yakin dan cekal untuk menghadapi golongan manusia toksid yang banyak menimbulkan huru hara di muka bumi ini. Kita tentu ada pengalaman dalam SC. Sekian.

Saturday 17 September 2011

Gambar Terkini YM Tuan Haji Ishak Itam?


Tiada lagi Yang Mulia?

*Terima kasih kerana sudi menghantarkan email kepada sejarahrealitisilatcekak@yahoo.com

Friday 9 September 2011

Sejarah Realiti Silat Cekak

Assalamualaikum wbt buat seluruh anak-anak Cekak SeMalaysia.
Sudah sampai masanya sejarah silat cekak di Malaysia ini dibongkar dan disatukan kembali bukan atas dasar persatuan atau organisasi. Maka web ini dilancarkan antara lainnya bertujuan untuk menyelidik dan mengumpul segala bahan sejarah realiti silat cekak sejak mula namanya dikenalpasti iaitu dizaman perang dynasti kerajaan Melayu Siam-Kedah Tua menentang kemasukan Sukhotai dan British sehinggalah ke konflik bersifat politik yang melibatkan pentadbiran persatuan yang menggunakan nama Silat Cekak pada tahun 1993. 

Untuk pengetahuan anak-anak Cekak sekalian, kami bukanlah baru dalam mengikuti perkembangan hal konflik dan politik pentadbiran persatuan yang mana sejak daripada mulanya zaman blog nukilan Big Body Guy, Pak Kaduk yang kemudiannya berkembang menjadi Sepak Minang, Cekak Pendusta, Sapa Habaq dan bermacam-macam lagi blog yang membicarakan tentang Silat Cekak. Bagi kami, pendapat mereka itu semuanya betul dan benar belaka, terhasil akibat dari rasa cinta dan kasih pada perjuangan Silat Cekak hak pusaka bangsa Melayu yang dizahirkan kembali ke alam maya oleh Almarhum Ustaz Hanafi b. Hj Ahmad.

Diharap dengan adanya blog ini, maka sudut pandang dan minda ahli-ahli anak-anak cekak sekalian akan lebih terbuka menilai sejarah perkembangan Silat Cekak daripada segenap penjuru, daripada sejarah realitinya sehinggalah yang bersifat persatuan yang sudah pun berumur 46 tahun.

Diharap juga pemilik-pemilik blog yang berkaitan sudilah membenarkan kami meletakkan link anda disini supaya tidak terlepas pandang oleh mana-mana pihak yang ingin mencari kebenaran. Sayang jika hasil tulisan anda yang baik itu tidak dikongsikan bersama yang lain. Begitu juga pada lain-lain blogger yang ada menghasilkan kajian dan perspektif yang menarik tentang Silat Cekak, maka usaha anda juga akan kami ketengahkan disini.

Insyaallah, portal SRSC ini akan berkembang selari dengan perkembangan dan input Silat Cekak dari hari ke hari bermula dari tarikh hari ini 9 September 2011 bersamaan 11 Syawal 1432.

Semoga pecahlah ruyung, runtuhlah tembok pemisah antara sekalian anak-anak Cekak SeMalaysia.

Segala input daripada pihak anda yang baik budi amatlah kami dihargai.

Sungguhpun begitu, jika dalam usaha kami itu terdapat salah dan silap, terkhilaf fakta mahupun kata maka kami pohon ampun dan maaf seawal-awalnya.

Dengan itu kami sudahi dengan salam sejahtera buat sekalian yang membaca.

Team Sejarah Realiti Silat Cekak.

SEJARAH REALITI SILAT CEKAK dengan ini membawakan blog-blog tersohor aliran Silat Cekak yang terdapat di Malaysia:

Big Body Guy:
"Pembentang Kemungkaran Yang Tersembunyi"

Cekak Pendusta:
"Bila mata bertentang mata
Lidah kelu tidak terkata
Gerak langkah mati sekata
Badan kaku menjadi binasa"

Pak Kaduk:
Pak Kaduk Ahli Strategi
"Jauhnya Perjalanan.."

Sapa Habaq:
"Pertemuan & Bicara Yang Benar"

Sepak Minang:
RUNTUHNYA CEKAK TANPA KESEDARAN,
DENDAM BERMUSUH WUJUDLAH TUJUAN,
BERPESTA RIA MENGGAGALKAN IMPIAN,
HUJUNGNYA KITA BANTUTKAN PERJUANGAN